PETALING JAYA: Penyanyi popular era 70-an, Rahim Maarof, 67, kini berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih selepas menjalani pembedahan akibat tekanan darah tinggi baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak penyanyi itu, Jasmin Rayhan berkata, bapanya masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan perlu menjalani pemantauan rapi doktor.
“Alhamdulillah, apa yang saya boleh kongsikan setakat ini, ayah berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih. Dia masih berada di ICU dan doktor sentiasa memantau perkembangannya,” katanya.
Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal itu dimasukkan ke ICU selepas tekanan darahnya naik mendadak dan doktor perlu mengeluarkan cecair di bahagian otak Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Jasmin turut meminta semua pihak tidak mencipta sebarang spekulasi tidak benar dan berhubung terus dengannya menerusi media sosial untuk sebarang perkembangan terkini.
“Saya perlu menghormati permintaan ahli keluarga lain untuk tidak terlalu berkongsi berhubung keadaan bapa kepada umum.
“Hantaran yang dimuat naik semalam juga adalah untuk menjelaskan situasi sebenar,” ujarnya. – UTUSAN










