Tembakan punai ‘kantoikan’ strategi 70 komunis serang Balai Mengkarak - Utusan Malaysia

Tembakan punai ‘kantoikan’ strategi 70 komunis serang Balai Mengkarak

MOHD. NOOR Awang Teh menunjukkan sijil berhenti pasukan polis tahun 1954 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerayong, Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Balai Polis Mengkarak di sini tidak popular seperti Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor dan Balai Polis Kuala Krau di Temerloh dekat sini, walaupun pernah diserang komunis pada zaman darurat.

Mungkin tidak ramai mengetahui peristiwa kerakusan komunis yang pernah menyerang Balai Polis Mengkarak pada 1 Mei 1949.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesara polis yang pernah bertugas di Balai Polis Mengkarak, Mohd. Noor Awang Teh, 88, berkata, peristiwa penting negara itu boleh lenyap begitu sahaja kerana tiada catatan termasuk di Muzium Polis di Kuala Lumpur.

Katanya, keperwiraan dan pengorbanan anggota polis Balai Polis Mengkarak tidak didendangkan walaupun kejayaan mereka menewaskan komunis yang lebih ramai menyerang balai berkenaan.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali ke Muzium Polis untuk ‘menyiasat’ rekod kejadian komunis menyerang Balai Polis Mengkarak tetapi tidak ditemukan.

Menyorot peristiwa itu, Mohd. Noor yang memegang nombor polis EPC 3540 berkata, peristiwa serangan Bintang Tiga itu berlaku kira-kira pukul 6 petang pada 1 Mei 1949 membabitkan kira-kira 70 komunis.

“Kekuatan anggota polis di Balai Polis Mengkarak pada ketika itu hanya 14 orang yang mana seorang sedang bercuti manakala seorang didapati hilang dipercayai diculik sebelum serangan.

“Dengan kekuatan hanya 12 orang, kami dengan penuh semangat menentang komunis seramai 70 orang. Komunis yang berada pada kedudukan atas bukit menembak bertubi-tubi ke arah tempat kami berkubu di bawah tanah,” katanya ketika ditemui di Kampung Kerayong di sini semalam.

Mohd. Noor memberitahu, dia membunuh tidak kurang sembilan komunis kerana waktu itu hari masih senja dapat melihat dengan jelas anggota Bintang Tiga maut ditembusi peluru dengan darah mengalir bagaikan air hujan mengalir ke lembah.

Menurutnya, serangan komunis yang memakan masa kira-kira dua jam itu menyebabkan polis hampir kehabisan peluru tetapi bernasib baik bantuan diterima dari Balai Polis Triang.

Mengenang lanjut peristiwa itu, Mohd. Noor yang lebih dikenali Mat Noor JP berkata, dia dan anggota polis lain waktu itu bernasib baik ekoran strategi komunis tidak menjadi kerana kehadiran mereka dapat dikesan.

“Komunis menggunakan ‘umpan’ seorang rakan kaum Cina dari Triang yang dikenali mengajak kami bermain bacok di sebuah kedai berhampiran. Mengikut rancangan mereka, anggota polis yang kebanyakan masih muda ketika itu akan dibunuh dan ditawan ketika sedang leka bermain bacok.

“Dengan takdir Allah SWT, seorang anggota polis veteran yang menjaga balai bernama Mat Isa menembak burung punai yang bertenggek di pokok di hadapan balai. Tembakan kira-kira lima minit pukul 6 petang itu mengejutkan sekumpulan komunis yang sedang siap sedia untuk menyerang balai.

“Menyedari kehadiran komunis pada masa itulah anggota polis bergegas masuk ke kubu bawah tanah dan bersedia menunggu serangan mereka. Kedudukan kubu sukar dilihat dari sisi kedudukan komunis di atas bukit telah mendorong mereka terpaksa berdiri untuk menembak ke arah kami. Ia memudahkan kami menembak ke sasaran menyebabkan ramai kalangan mereka terbunuh dan cedera,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan risikan, sekumpulan 70 komunis Bintang Tiga itu dari Johor dengan berjalan kaki selama seminggu semata-mata untuk menyerang Balai polis Mengkarak.

“Seminggu selepas peristiwa itu, pihak komunis menabur risalah dalam bahasa Melayu (Jawi). dan Cina mengakui kesilapan menyerang Balai Polis Mengkarak. Mereka mengaku 41 anggotanya terbunuh dan ramai cedera dan berikrar membalas dendam,” katanya.

Menurutnya, rentetan daripada peristiwa itu, komunis telah menyerang Balai Polis Kuala Krau pada 26 Jun 1949 iaitu kira-kira sebulan selepas itu dan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×