KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan perjanjian dengan Goldman Sachs perlu dikaji semula kerana kerajaan berhak memperoleh wang pampasan yang lebih besar.
Menurut Perdana Menteri, ia juga adalah pendirian yang disuarakan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Ghani yang telah pun
menjalankan tugas beliau.
“Saudara Johari sedang tumpu. Dalam maklumat awal, nampak dia masih berpandangan harus dirungkai semula perjanjian dengan Goldman Sachs.
“Saya setuju kerana dari awal saya anggap ia dibuat secara gopoh-gapah, maka ia timbulkan banyak persoalan oleh kelompok awal dahulu (kerajaan terdahulu).
“Kita harus memperoleh banyak, umpamanya dengan IPIC (International Petroleum Investment Company), masa dahulu mereka mahu selesai dengan jumlah lebih kecil, bila kita bertegas, kita dapat AS$1.8 bilion dolar, jadi bayaran yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau hadir dalam Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.
Menurut Anwar, kerajaan akan terus berpendirian tegas bagi memastikan isu 1MDB dapat diselesaikan dengan segera.
“Orang kadangkala pandang ringan atau remeh dalam soal ketelusan dan ketegasan tapi sebenarnya ini menyelamatkan wang rakyat,” jelas beliau.
Pada 2020, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk 1MDB.
Dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), lebih dari AS$4.5 bilion akan dikembalikan.
Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.
Jumlah penyelesaian itu merupakan satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs pada 2019. – UTUSAN










