Pengambilan khas atasi masalah kekurangan guru - Utusan Malaysia

Pengambilan khas atasi masalah kekurangan guru

LIM Hui Ying (tengah) ketika merasmikan pameran pendidikan IPTA di di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan pengambilan khas guru-guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru dalam beberapa subjek teras di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, jumlah kekurangan guru KPM setakat 31 Januari lalu adalah sebanyak 19,431 kekosongan iaitu kira-kira 4.49 peratus.

“Kekosongan ini berlaku berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

”Oleh itu, KPM dalam rancangan untuk adakan pengambilan khas untuk guru-guru dan kita akan umumkan perkara ini dalam masa satu atau dua bulan lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, di sini hari ini.

Terdahulu, Hui Ying merasmikan pameran pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dianjurkan KPM dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia dan Gabungan Lembaga Pengelola Sekolah Malaysia.

Pameran itu bertujuan menyediakan platform kepada pelajar sekolah menengah khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai peluang yang disediakan oleh kerajaan dan agensi untuk mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan masing masing.

Menurut Hui Ying, secara keseluruhannya masalah kekurangan guru antaranya guru mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam berlaku di setiap negeri.

”Menerusi data-data yang kita ada masalah kekurangan guru dalam mata pelajaran tersebut dihadapi di setiap negeri, sama ada di bandar, luar bandar dan juga di pedalaman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying menyeru semua pelajar menyertai pameran pendidikan IPTA yang diadakan di empat lokasi masing-masing di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor bagi meneroka peluang-peluang pendidikan yang boleh disertai selepas tamat pendidikan peringkat menengah.

“Pameran pendidikan seumpama ini mampu memberikan satu ruang yang komprehensif bagi para pelajar menyedari dan menerokai peluang-peluang pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Ia juga dapat memberi akses
pendidikan yang saksama kepada semua murid berkelayakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya