BUTTERWORTH: Seorang wanita golongan orang kurang upaya (OKU) fizikal dari Merbau Kudung, Sungai Dua di sini, gigih mencari rezeki dengan mengambil upah menjahit pakaian biarpun mengetahui dirinya tidak seperti insan normal yang lain.
Nurul Izzah Mohd. Asri, 25, berkata, rutin hariannya sepanjang bulan puasa dipenuhi dengan kerja-kerja menjahit pakaian yang ditempah pelanggan sempena sambutan Aidilfitri kelak sejak sebelum Ramadan lagi.
“Buat masa sekarang hampir 30 pasang pakaian termasuk baju kurung, baju kebaya, baju Melayu serta jubah perlu disiapkan dua minggu sebelum Aidilfitri.
“Memang tak menang tangan memandangkan saya tiada pembantu, namun seronok sebab dapat lakukan kerja ini kerana bukan sahaja dapat bantu menjana pendapatan, malah memberi kepuasan buat walaupun dalam keadaan diri saya yang serba kekurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.
Menurut anak keempat dari lima beradik itu, dia tidak menyangka akan bergelar tukang jahit memandangkan impian asalnya adalah untuk menjadi cef.
“Pada mulanya memang niat nak jadi cef, namun disebabkan pekerjaan tersebut bergelumang dengan persekitaran yang panas dan memerlukan ketangkasan pergerakan, maka saya beralih kepada bidang jahitan,” katanya.
Tambahnya, dia turut menghadiri kursus jahitan jangka pendek kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seterusnya melanjutkan kursus kemahiran di bawah Institut Kemahiran Tinggi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA-TECH) di bawah jurusan seni reka fesyen selama dua tahun.
“Ketika mendalami ilmu kemahiran tersebut, perasaan seronok belajar mula terbit berikutan pensyarah dan rakan sekuliah banyak memberi sokongan seterusnya berjaya menamatkan kursus tersebut,” katanya.
Nurul Izzah menambah, dia memperoleh bantuan daripada pelbagai pihak yang menyokong usahanya menjadi tukang jahit termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PERDA dari segi kelengkapan dan peralatan mesin menjahit.
“Disebabkan fizikal saya ini kerdil, ayah membina sebuah bilik menjahit bersebelahan rumah sesuai dengan keadaan saya.
“Untuk kerja mengukur badan pelanggan, saya akan menggunakan kerusi sambil dibantu pelanggan. Pelanggan pula amat memahami dan tidak memandang sinis sebaliknya memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Tambahnya, untuk sepasang baju kurung, kebaya atau jubah berharga RM40 ke atas bergantung kepada jenis rekaan, manakala baju Melayu sahaja RM40 dan sepasang baju kurung kanak-kanak bermula dengan harga RM30 juga bergantung kepada jenis rekaan. – UTUSAN











