Nasmir teruskan tradisi bantuan ketika Ramadan sejak 25 tahun lalu - Utusan Malaysia

Nasmir teruskan tradisi bantuan ketika Ramadan sejak 25 tahun lalu

KADHAR SHAH Abdul Razak menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan pada majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya anjuran Nasmir Holdings di Golden Nasmir Hotel Auto City, Juru, Pulau Pinang semalam. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Pemilik rangkaian restoran nasi kandar Nasmir, Nasmir Holding Sdn. Bhd. meneruskan tradisi pengagihan bantuan sempena Ramadan sejak 25 tahun yang lalu apabila menyantuni kira-kira 200 penerima dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya, di sini semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 920 penerima yang terdiri daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan, mualaf, tahfiz dan sebagainya termasuk di luar negara yang dibantu sepanjang Ramadan tahun ini.

“Setiap tahun (khususnya sepanjang Ramadan), sasaran kita ialah untuk bantu sehingga 1,500 keluarga dan untuk tahun lepas sahaja, kita berjaya bantu sehingga 1,200 keluarga sehingga ke akhir Ramadan.

“Tahun ini, kita memperuntukkan sehingga RM400,000 bagi membantu golongan-golongan ini. Walaupun perniagaan agak perlahan, insya-Allah, bantuan akan kita teruskan selagi termampu,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya di Golden Nasmir Hotel Auto City, Juru di sini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal serta Pengarah Urusan Grand Mulia Hotel yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Jelas Kadhar Shah, Nasmir Holdings akan meneruskan program sama serta beberapa program bantuan termasuk untuk mangsa bencana dan sebagainya pada masa depan.

“Sebagai contoh, semasa Covid-19 dahulu, kita ada buat ‘food bank’ hampir sebulan untuk bantu mereka yang terkesan hingga polis terpaksa nasihat untuk kita tutup kerana terlalu ramai (sambutan),” katanya.

Malah beliau memberitahu, dalam tempoh tiga minggu sahaja, pihaknya berjaya membantu sehingga 680 keluarga yang memerlukan ketika itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya