Kemeriahan Ramadan, Aidilfitri empat beradik 'direntap'

Kemeriahan Ramadan, Aidilfitri empat beradik ‘direntap’ selepas ayah tiada

MUHAMMAD Ammar Mohd. Nor Faisal (tengah) bersama adik kembarnya, Muhammad Amzar dan Muhammad Amsyar dibantu Wan Romani Wan Salin (kanan) dan Saduruddin Gulam Husin pada majlis penyampaian sumbangan anjuran Pasaraya Mydin dan DUN Bukit Pinang di Alor Setar. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemergian bapa tercinta akibat kemalangan jalan raya bukan sahaja mengubah kehidupan harian empat beradik, malah turut merentap kemeriahan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ekoran bergelar anak yatim.

Meskipun masih memiliki ibu, kegembiraan mereka sedikit terusik ketika dibawa memilih pakaian raya baharu apabila melihat rakan sebaya lain berkunjung ke pasar raya bersama bapa masing-masing.

Muhammad Ammar Mohd. Nor Faisal, 13, berkata, sejak kecil bapanya, Allahyarham Mohd. Nor Faisal Ani akan membawa mereka membeli pakaian baharu sebagai persediaan menyambut hari raya tetapi suasana itu tidak berlaku lagi sejak tahun 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dahulu ayahlah orang yang bawa kami beli baju baharu tak kira semasa raya atau nak buka sekolah, dia yang tolong ibu carikan saiz baju untuk kami tetapi sejak ayah meninggal dunia suasana itu tidak ada lagi.

“Tetapi kami bersyukur kerana masih ada pihak-pihak yang prihatin bawa saya bersama dua adik lelaki kembar membeli baju baharu walaupun ayah sudah tiada,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan anjuran Pasaraya Mydin dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, di sini semalam.

Muhammad Ammar bersama dua adik kembarnya iaitu Muhammad Amzar dan Muhammad Amsyar yang berusia 12 tahun antara 30 anak-anak yatim dan asnaf yang dibawa membeli baju raya baharu sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam program itu, mereka diberi kebebasan untuk memilih sendiri set lengkap baju Melayu bagi lelaki dan set lengkap baju kurung bagi perempuan yang bernilai RM100 setiap seorang.

Muhammad Ammar yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pada kedua-dua bahagian tangannya berkata, sumbangan pakaian baharu itu membantu menjimatkan kos perbelanjaan keluarganya yang menetap di Tanjung Musang, di sini walaupun ibu dan seorang lagi adik lelakinya berusia lima tahun belum membeli pakaian raya.

Pada 13 Oktober 2020, bapanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Pulau Pinang meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat kemalangan di Kilometer 98.7, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Petani.

Sementara itu, ibu tunggal, Norashikin Shafie, 49, lega kerana dua anaknya iaitu Ain Wahida Izman, 21, dan Muhammad Adam Wafi, 13, sudah memiliki baju raya baharu termasuk beberapa barangan lain sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Dia yang kematian suami pada 2020 berkata, program penyampaian sumbangan seperti itu amat membantu mereka yang berpendapatan sederhana untuk membuat persiapan sama ada ketika perayaan atau musim persekolahan baharu.

Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin berkata, sepanjang Ramadan tahun ini, sejumlah peruntukan telah disediakan kepada 500 penerima dari tujuh cawangan yang berada di bawah Wilayah Utara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr. Saduruddin Gulam Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wan Romani Wan Salin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×