KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri di Felda Lok Heng Timur di sini, sanggup menjual lori pasir mereka untuk dijadikan sebagai modal mengusahakan tanaman cendawan.
Siti Aishah Hasim, 30, berkata, berbekalkan wang RM50,000 yang diperoleh hasil menjual lori tersebut, dia dan suaminya, Muhammad Ridzuan Ahmad, 33, kini meraih pendapatan kasar RM14,000 sebulan.
Katanya, idea mengusahakan tanaman itu tercetus selepas mendapati sayur berkenaan sukar diperoleh selain kurangnya pengusaha cendawan di daerah ini.
“Awalnya saya hanya kerja di kedai runcit keluarga dan tercetusnya idea untuk usahakan cendawan ini pada 2017 sebab tidak ramai pada ketika itu yang usahakan cendawan serta di kedai-kedai juga susah hendak jumpa cendawan.
“Saya kemudian ambil kursus buat bongkah dan nekad jual cendawan yang segar, petik terus jual kepada pelanggan dan alhamdulillah sekarang jadi kenyataan apabila kami jual kepada pemborong di daerah ini dan Pasir Gudang. Bahkan kami pernah hantar kepada pembekal untuk dibawa masuk ke Singapura, iaitu setiap hari perlukan 60 kilogram cendawan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Ibu kepada dua anak itu berkata, rumah cendawan yang dibangunkan di tanah kosong milik rancangan Felda itu boleh memuatkan 30,000 bongkah yang dilakukan di rumah dengan dibantu suaminya serta seorang pekerja.
Sebelum memperoleh bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian dan Felda, dia bersama suami terpaksa memproses bongkah cendawan secara manual selama dua tahun.
“Memang agak kerja keras juga semasa buat secara manual itu pengeluaran juga tidak banyak hanya dapat buat 4,000 bongkah sahaja sebulan, namun selepas dapat bantuan peralatan, kami dapat tingkatkan menjadi 8,000 bongkah sebulan.
“Kini kami hasilkan kira-kira 1.2 tan cendawan sebulan dan mampu peroleh pendapatan kasar RM14,000. Selepas tolak modal dan sebagainya dapatlah RM6,000 untung bersih. Kami juga mempunyai perancangan untuk membesarkan lagi pengeluaran bongkah sehingga 12,000 sebulan dengan menambah lagi rumah cendawan sedia ada,” katanya. – UTUSAN











