PETALING JAYA: Kerajaan wajar menghentikan pembaharuan tahunan dokumen IMM13 yang diberikan kepada pelarian perang Filipina yang menetap di Sabah sejak 50 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan sepatutnya tidak lagi memperbaharui dokumen tersebut kerana isu pelarian Filipina terkait rapat dengan keselamatan kedaulatan Sabah.
Beliau yang juga bekas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mendakwa, sebelum ini sekitar 60,000 dokumen IMM13 dikeluarkan .
Katanya, mengikut pengiraan ketika ini, jika dianggarkan satu keluarga lima orang, maka usaha itu akan melibatkan sekurang-kurangnya 300,000 individu.
“Buat satu dasar mengatakan mulai tahun hadapan, dokumen IMM13 ini tidak lagi akan diperbaharui. Dalam dasar itu, beri peluang kepada mereka, sekiranya mahu balik maka, baliklah ke negara asal.
“Kepada yang tidak mahu balik, apabila dokumen itu tamat tempoh, maka mereka sepatutnya dikira melanggar undang-undang negara.
“Ini maksudnya, mereka perlu mengikut prosedur negara ini seperti mana pendatang-pendatang asing lain lakukan untuk tinggal di negara kita.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka di Sabah dan menjadikan mereka penduduk tetap atau permanent resident (PR) di Sabah kerana ia terkait dengan masalah keselamatan di Sabah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata demikian kerana bimbang dengan kedaulatan Sabah yang akan terjejas sekiranya kumpulan pelarian Filipina ini mula mengambil alih negeri itu kerana berpandangan Sabah adalah milik Filipina.
“Kita tahu wujud tuntutan malah Filipina mendakwa Sabah ini milik mereka. Ini adalah soal keselamatan. Jika mereka ini terus menetap di Sabah nanti mereka rasa mereka boleh mengambil alih Sabah,” katanya.
Pada 29 Mac lalu, dalam aturan urusan mesyuarat, pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Madius membangkitkan isu berkenaan dan meminta kerajaan menyatakan dasar untuk menangani kehadiran pelarian perang Filipina yang berada di Sabah sejak 1970-an.
Bagaimanapun menurut beliau, jawapan bertulis yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis tidak tepat.
“Saya menerima jawapan bertulis itu namun jawapan yang disediakan adalah berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI). Ini pentingnya kita memahami perbezaan antara PATI dan pelarian,” katanya.
Pada 2020, sejumlah 136,055 pelarian Filipina di Sabah sudah dikenal pasti melalui milikan dokumen IMM13, Sijil banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan dan Sijil burung-burung.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebelum ini berkata, kerajaan tidak pernah menghalang malah menggalakkan supaya pemegang dokumen IMM13 sedia ada untuk kembali ke negara asal mereka.
Dalam pada itu, Madius juga mencadangkan supaya mereka yang mahu menetap di Malaysia perlu dibawa dan diberikan pekerjaan di Semenanjung sebelum mempertimbang status pelarian tersebut.
“Antara alternatif lain, kita tahu di Semenanjung memerlukan banyak pekerja asing, jadi saya cadang untuk kita ambil pelarian Filipina ini menggantikan pekerja-pekerja dari Bangladesh, Nepal dan sebagainya.
“Dalam proses itu, sekiranya mereka mahu terus menetap di negara ini, kerajaan pertimbangkan hal-hal kenegaraan mereka ini,” katanya.
Kewujudan pelarian Filipina di Sabah adalah akibat perang saudara yang berlaku di Mindanao. Kesemua pelarian Filipina yang datang ke Sabah ditempatkan di skim penempatan oleh kerajaan.
Mereka ditempatkan di lima buah kawasan iaitu Kampung Kinarut dan Kampung Telipok di Kota Kinabalu; Kampung Hidayah, Tawau; Kampung Selamat, Semporna dan Kampung Bahagia di Sandakan. – UTUSAN










