MELAKA: Jika anda berkunjung ke Bazar Fiesta Aidilfitri Pantai Klebang di sini, jangan terkejut apabila melihat kelibat ‘pontianak’ dan anaknya berlegar-legar di situ.
Demi mencari rezeki, seorang lelaki sanggup mengenakan kostum hantu sambil menolak troli menjual minuman dan makanan di bazar tersebut.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Saifen Mohamed, 38, berkata, dia mengenakan kostum berkenaan bersama anaknya untuk mencari pendapatan tambahan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, dua anaknya berusia empat dan lima tahun turut mengenakan kostum anak pontianak sambil berjalan bersamanya menjual air, dadih dan gula Melaka.
“Pendapatan saya bekerja sebagai penghantar surat tidak cukup untuk menampung membeli pakaian baharu untuk dua anak dan isteri menjelang Aidilfitri.
“Jadi saya ambil keputusan jual minuman dan makanan dengan menolak troli di bazar ini untuk tambahan pendapatan, sambil mengenakan kostum Hang Tuah pada mulanya.
“Tetapi saya lihat kostum Hang Tuah kurang menarik minat orang ramai datang membeli minuman dan makanan yang dijual. Tiba-tiba timbul idea untuk mengenakan kostum pontianak. Saya beli kain putih, barangan kosmetik dan rambut panjang sesuai dengan perwatakan pontianak,” katanya baru-baru ini.
Mohd. Saifen yang lebih dikenali dengan panggil Saifen Jibam berkata, sejak mengenakan kostum tersebut, orang ramai yang berkunjung ke Bazar Fiesta Aidilfitri Pantai Klebang teruja melihat kelibat mereka anak-beranak.
“Sepanjang saya berjalan di bazar, orang ramai tidak putus-putus berswafoto dan bergambar sambil mereka menyumbang tip ke dalam tabung yang disediakan.
“Hasil jualannya minuman dan makanan yang dijual tidak seberapa kerana meraih pendapatan antara RM30 hingga RM50 semalam.
“Tetapi tip saya terima daripada orang ramai yang bersedekah mencecah antara RM100 hingga RM150 semalam. Alhamdulillah ini semua rezeki anak-anak saya,” ujarnya. – UTUSAN











