Bekalan air dua daerah di Perak pulih 50 peratus esok - Utusan Malaysia

Bekalan air dua daerah di Perak pulih 50 peratus esok

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (depan, tengah) melawat kerja pembaikan paip air di LRA Teluk Kepayang, Bota dekat Parit hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Bekalan air ke daerah Manjung dan Perak Tengah yang terjejas sejak empat hari lalu melibatkan hampir 80,000 akaun premis, dijangka pulih lebih 50 peratus esok.

Ia kerana sehingga pagi ini kerja-kerja pembaikan paip air yang terputus akibat pergerakan tanah tebing Sungai Perak di Loji Rawatan Air (LRA), Teluk Kepayang, Bota, dekat sini, sudah siap kira-kira 95 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjangkakan, bekalan air ke dua daerah itu akan pulih sepenuhnya sebelum Sabtu ini.

“Jangkaan kita sebelum ini dalam situasi buruk, bekalan air dijangka hanya akan pulih pada 8 April tetapi bila lihat perkembangan kerja-kerja pembaikan sekarang, dijangka bekalan pulih sepenuhnya lebih awal. Kebarangkalian besar bekalan pulih lebih 50 peratus esok.

“Sehingga hari ini, lebih kurang 30 peratus bekalan sudah berjaya disalurkan kerana kerja-kerja dilakukan 24 jam bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke tempat yang perlu diberi keutamaan seperti di Hospital Seri Manjung (HSM) dan tempat tertentu, dan mulai semalam ia sudah berjaya disalurkan,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di LRA Teluk Kepayang di sini hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd. Rahman.

Menurut Mohammad Nizar, penghantaran air melalui lori tangki LAP serta operator air dari tujuh negeri selain 48 unit tangki statik disediakan LAP, akan terus dilakukan ke kawasan yang masih terjejas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada operator air negeri-negeri tersebut serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menyelaraskan sumbangan itu kepada penduduk terjejas.

Menurut beliau lagi, LAP juga akan mengenal pasti sekolah yang masih terjejas dan akan dibuka semula esok selepas mengambil cuti kecemasan hari ini, untuk penghantaran lori tangki ke premis sekolah tersebut.

“Perancangan kerajaan negeri menerusi LAP sebelum ini ialah untuk menaik taraf LRA Teluk Kepayang, tetapi kejadian paip putus itu berlaku lebih awal,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan sebanyak 79,360 akaun bekalan air di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari Jumaat lalu selepas paip bagi menyalurkan air tersebut terputus.

Ia melibatkan 69,700 akaun pengguna di Manjung dan 9,660 akaun pengguna di Perak Tengah.

Kawasan terlibat pula ialah Pulau Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar, Lekir dan Kayan di daerah Manjung serta Seberang Perak, Changkat Lada, Kampung Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis di daerah Perak Tengah.

Menurut kenyataan LAP, LRA Teluk Kepayang telah menghentikan penyaluran air sejak pukul 12.40 tengah hari kelmarin dan dijangka hanya akan pulih hari ini secara berperingkat.

Semalam, akhbar ini melaporkan bekalan air bersih kembali pulih di beberapa kawasan di daerah Manjung secara berperingkat mulai pagi semalam selepas LRA Teluk Kepayang beroperasi 30 peratus dan disalurkan ke kolam takungan Seri Manjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.