Agong kutuk serangan Masjid Al-Aqsa

Agong kutuk serangan Masjid Al-Aqsa

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan Masjid Al-Aqsa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, Seri Paduka menyifatkan serangan terhadap jemaah dan pencerobohan tempat suci umat Islam ketiga sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Katanya, lebih-lebih lagi kejadian terbabit berlaku dalam bulan mulia yang sepatutnya dalam keadaan aman.

“Seri Paduka turut menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencabuli hak asasi manusia serta kesucian masjid. 

“Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia,” katanya dalam kenyataan.

Kata Zahari, oleh itu Seri Paduka menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia yang menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan segera membebaskan semua tahanan Palestin.

“Seri Paduka bertitah Malaysia juga menyokong dan berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Seri Paduka bertitah agar Kerajaan Malaysia memainkan peranan menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani masalah yang dihadapi oleh Palestin.

“Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” katanya.

Menurut Zahari, Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya