20 pelajar UPNM pulang ke kampung naiki pesawat TUDM

20 pelajar UPNM pulang ke kampung naiki pesawat TUDM

Sebahagian daripada 20 pelajar UPNM yang pulang ke kampung masing-masing dengan menaiki C130 TUDM, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 20 pelajar dari Sabah dan Sarawak di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pulang ke negeri masing-masing dengan menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dua pesawat iaitu A400M dari 8 Skuadron dan C130 dari 14 Skuadron berlepas ke destinasi terlibat melalui Lapangan Terbang Pangkalan Udara Su­bang kelmarin.

Pelajar Diploma Kecergasan Pertahanan, Alie Maisarah berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana memudahkan urusan mereka untuk pulang ke kampung.

“Saya melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan pihak TUDM kerana cakna membantu para pelajar dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan harga tiket bagi penerba­ngan domestik di negara ini dilihat lebih mahal beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan tinjauan tersebut, penerbangan Kuala Lumpur- Tawau bagi kelas ekonomi hanya dapat diperoleh pada tarikh 22 April dengan harga bermula RM1,123.94.

Di media sosial juga, ramai anak-anak di perantauan yang mengadu mengenai tiket penerbangan yang terlalu mahal.

Dalam satu kenyataan, UPNM berkata, inisiatif tersebut adalah atas usaha untuk menggembirakan para pelajar universiti tersebut.

“Kepulangan anak-anak ke kampung halaman yang jauh di Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sememangnya dinanti-nantikan oleh keluarga tercinta.

“Selain daripada melepaskan rindu setelah sekian lama berkelana menimba ilmu di gedung menara gading, para mahasiswa turut dapat meraikan hari raya bersama-sama saudara mara dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN