Tradisi palu beduk waktu berbuka, bersahur

Tradisi palu beduk waktu berbuka, bersahur

SHASUDDIN Ismail (kanan) menunjukkan cara memalu beduk di Masjid Ahmadiah Kampung Sungai Lancang di Bagan Datuk baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Memukul beduk sebagai tanda sudah masuk berbuka puasa dan mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur pada bulan Ramadan masih diamalkan di Sungai Lancang, dekat sini.

Imam Masjid Ahmadiah Kampung Sungai Lancang, Shasuddin Ismail, 75, berkata, tradisi itu masih diamalkan walaupun masyarakat sudah mempunyai pelbagai teknologi moden untuk mengetahui waktu berbuka puasa dan untuk bangun sahur.

Menurutnya, tradisi itu masih diteruskan dengan memalu beduk yang dikatakan sudah berusia lebih 100 tahun yang terdapat di masjid itu.

Katanya, keadaan beduk tersebut masih elok, tidak ada sebarang kerosakan dari segi kulit yang diperbuat daripada kulit lembu dan rotan malah masih menghasilkan bunyi yang kuat.

“Mungkin di tempat lain sudah tiada bunyi beduk, tapi kami di sini masih lagi boleh mendengar bunyi beduk setiap kami masuk waktu solat, siak masjid ini akan memalu beduk.

“Bunyi beduk sudah tentu dirasakan lebih istimewa sebagai tanda masuk waktu berbuka puasa dan kami di sini masih meneruskan tradisi memalu beduk bagi mengejutkan penduduk untuk bangun bersahur.

“Walaupun penduduk sudah ada pelbagai cara untuk bangun sahur tetapi bunyi beduk ini mengembalikan nostalgia orang dahulu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Shasuddin, beduk di masjid itu bukan sekadar nostalgia kepada penduduk tetapi sebagai lambang perpaduan masyarakat setempat kerana beduk itu dibuat oleh penduduk yang bergotong-royong membuat beduk itu lebih 100 tahun lalu.

Katanya, bahagian beduk yang dipalu diperbuat daripada kulit lembu yang sudah beberapa kali ditukar kerana koyak.

“Beduk ini sebagai simbol perpaduan penduduk setempat, dengan saiznya yang besar, sudah tentu satu kampung dapat mendengar gema bunyi­nya yang dipalu oleh tok siak yang bertugas.

“Paluan beduk ini akan memecah kesunyian malam untuk mengejutkan penduduk bangun bersahur, ia benar-benar mengembalikan nostalgia kepada penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN