Malaysia, Indonesia sepakat tangani keselamatan dalam talian kanak-kanak - Utusan Malaysia

Malaysia, Indonesia sepakat tangani keselamatan dalam talian kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi pada peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak merupakan isu penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.

Katanya, usaha yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi menggalakkan penyertaan negara-negara ASEAN lain walaupun setiap negara mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid di Bali hari ini.

Fahmi turut menyambut baik hasrat Meutya untuk mempererat kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.

“Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan oleh rakan sejawatnya di Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo memaklumkan telah bertemu Fahmi secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada Isnin.

Menerusi hantaran di media sosial, Teo berkata, pertemuan spontan itu memberi manfaat apabila mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor telekomunikasi negara masing-masing termasuk komunikasi selamat kuantum serta keselamatan dalam talian kanak-kanak dan golongan muda.

Teo turut berharap dapat menjadi tuan rumah kepada Fahmi di Singapura dalam masa terdekat.

Fahmi berada di Bali atas jemputan untuk menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week dengan diiringi Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia) MCMC, Datuk Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini