PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan bekas wartawan bagi membantu siasatan susulan laporan penafian daripada pengerusi sebuah kuil berhubung isu dakwaan pengedaran dadah berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.
Keterangan itu diambil bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pengadu seorang lelaki tempatan memaklumkan semasa berada di rumah telah menerima pautan audio siar daripada rakannya kira-kira 3.30 petang pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pengadu telah hadir membuat laporan polis berkaitan penafian tersebut.
“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selepas mendapat perintah untuk penyiasatan (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya, bagi tujuan melengkapkan siasatan pihak polis telah memanggil beberapa orang saksi termasuk Azrul Affandi Sobry (bekas wartawan) ke IPD Sentul utk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bekas wartawan itu akan hadir ke IPD Sentul kira-kira pukul 12 tengah hari esok.
Video audio siar berdurasi dua minit 30 saat berhubung isu tersebut sebelum ini tular menerusi akaun TikTok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil semakan mendapati, kejadian yang dibangkitkan dalam ‘podcast’ berkenaan berlaku pada 12 Julai 2016 dan tiga laporan polis berkaitan kejadian diterima ketika itu. – UTUSAN











