KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjawab isu penamatan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perbahasan masih berlangsung dan perkara itu akan dijawab oleh kementerian berkaitan ketika penggulungan.
“Itu perbahasan. Perbahasan tak habis lagi, banyak orang nak cakap macam-macam. Nanti gulung itu mungkin mana-mana kementerian relevan akan gulunglah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Semalam, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta kerajaan menjelaskan asas Perlembagaan yang digunakan bagi menamatkan perkhidmatan 10 Exco Negeri Sembilan susulan dakwaan tindakan itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Menurutnya, penjelasan diperlukan terutama berhubung Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan mengenai jaminan Persekutuan terhadap perlembagaan negeri.
Beliau mendakwa, penamatan perkhidmatan berkenaan tidak mematuhi Perkara 38(5) Perlembagaan Negeri Sembilan yang memperuntukkan pelantikan ahli Exco selain Menteri Besar boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.
Takiyuddin turut mendakwa, berdasarkan maklumat yang diterimanya, tiada nasihat diberikan oleh Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar untuk menamatkan perkhidmatan 10 Exco tersebut.
Pada 21 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat mengenai pembatalan pelantikan anggota Exco berkenaan.
Beliau berpandangan tindakan menamatkan keahlian Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang. – UTUSAN











