KOTA BHARU: Golongan wanita di negeri ini tetap ‘berselera’ membeli emas walaupun harga perhiasan itu mengalami kenaikan.
Tinjauan Utusan Malaysia di kedai emas sekitar Pasar Siti Khadijah dan Jalan Buluh Kubu di sini mendapati, orang ramai tetap berkunjung ke premis berkenaan untuk mendapatkan perhiasan itu.
Seorang peniaga, Nakhaie Noh, 21, berkata, kenaikan RM4.04 untuk satu gram emas tidak menghalang golongan wanita mendapatkannya.
Katanya, kebanyakan wanita mengambil kesempatan menjual dan kemudian menggantikan perhiasan itu dengan reka bentuk baharu sebagai kepuasan diri sendiri memakainya.
“Antara reka bentuk yang menjadi pilihan ketika ini ialah kantung love, kendi love dan hardware. Melihat situasi semasa, saya jangkakan harga emas naik lagi selepas ini. Mengikut pengalaman lepas, harga emas mengalami kenaikan seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Aziati Aziz, 21, berkata, harga emas agak tinggi iaitu RM272.05 satu gram, berbanding beberapa hari lepas RM261 untuk berat sama.
“Apa yang saya lihat, wanita Kelantan membeli barang kemas tidak kira harga mahal atau sebaliknya.
“Lagi pun bila ada duit, sesetengah mereka tidak menjadi masalah untuk membelinya dan kebanyakannya membeli reka bentuk sauh, love atau boba yang menjadi trend terkini,” ujarnya.
Bagi Ayuni Azizan, 26, pula, ada dalam kalangan pelanggan yang singgah membeli emas di premisnya menggunakan duit bonus dan simpanan.
Katanya, walaupun harga naik ada pelanggan sanggup berbelanja sehingga RM25,000 untuk seutas rantai tangan dan leher.
Sementara itu, seorang pembeli, Zura Azmi, 28, berkata, walaupun harga tidak menentu, dia tetap memilih membeli barang kemas berbentuk love bernilai RM10,000.
“Saya sebenarnya menukar reka bentuk rantai tangan yang lama dengan trend terkini bagi mendapat kepuasan diri.
“Sebelum harga emas melambung tinggi, saya ingin mengambil peluang untuk membelinya walaupun ketika harga sekarang sudah naik,” ujarnya.
Berbeza pula bagi seorang pengawal keselamatan dikenali Man, 49, yang mengambil keputusan untuk menggadaikan sementara barang kemas milik isterinya memandangkan sesi persekolahan dan bulan puasa secara serentak.
Katanya, dia terpaksa berbuat demikian kerana itulah peluang yang ada dalam meneruskan kelangsungan hidup. – UTUSAN










