Tarik semula minat rakyat terhadap UMNO - Utusan Malaysia

Tarik semula minat rakyat terhadap UMNO

SAIFUL Fariddil Jasmi (dua dari kiri) beramah mesra bersama Pemuda UMNO Bahagian Kangar sewaktu Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Dewan Warisan, Kangar, Perlis malam tadi. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda UMNO Bahagian Kangar akan memberi fokus untuk menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap parti itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi mencapai hasrat itu, ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian itu berazam untuk bekerja sehabis baik bagi mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti berkenaan.

Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi, 35, berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan dengan mendampingi golongan muda di samping menganjurkan program-program mengikut cita rasa kelompok berkenaan selepas ini.

“Golongan muda sebenarnya tidak memihak kepada Perikatan Nasional (PN) seperti yang digembar-gemburkan namun mereka terpengaruh dengan kandungan-kandungan dimuat naik di laman sosial.

“Oleh itu, kami Pemuda Bahagian Kangar yang baharu dipilih ini akan memperkasakan lagi laman sosial bagi menarik minat golongan muda di samping menganjurkan program-program seperti sukan buat mereka,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saiful berkata, berdasarkan penilaian yang dibuat sebelum ini, golongan muda sebenarnya masih sayang UMNO namun mereka berhasrat untuk melihat perubahan terlebih dahulu dalam kepimpinan parti itu.

Ujarnya, faktor tersebut menyebabkan anak muda sebelum ini terasa semakin jauh dengan UMNO dan disebabkan itulah parti perlu melakukan perubahan pada kali ini.

“Seandainya parti keramat ini dapat berubah, saya percaya kita akan berjaya tarik kembali minat golongan muda untuk rapat bersama UMNO,” katanya.

Di samping itu, Saiful berkata, walaupun jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini, namun perubahan dalam parti itu dapat dilihat bagi persaingan jawatan-jawatan lain.

Tambahnya, terdapat calon-calon muka baharu dan lama telah mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini bagi memastikan parti dapat membawa perubahan besar dalam menarik semula sokongan rakyat.

“Jadi kita berharap UMNO di peringkat pusat juga dapat bersama-sama membawa perubahan dan berkongsi idea bagi memperkasakan parti keramat ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya