KANGAR: Ketika rakan-rakan seusianya masih menikmati zaman kanak-kanak, seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, di sini sudah memikul tanggungjawab besar membantu ibunya yang menghidap masalah saraf dan tidak dapat berjalan.
Muhammad Shameer Farriez Amir Nizam, 10, menguruskan masa dengan baik antara pendidikan dan tanggungjawab membantu ibunya, Juraimie Ramli, 42.
Selain membantu mengurus rumah, Muhammad Shameer turut menjual aiskrim kepada penduduk sekitar bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga.
Katanya, dia tidak pernah terbeban menjaga ibunya dan sudah terbiasa dengan rutin harian berkenaan yang bermula seawal pukul 6.20 pagi.
Katanya, sebelum ke sekolah, dia kebiasaan membancuh kopi dan kemudian menyapu bahagian dalam rumah pada setiap hari sebelum meninggalkan ibunya berseorangan.
“Saya memilih untuk menjual aiskrim di kawasan perumahan kami bagi mengumpul duit sendiri malah ibu juga memberi sedikit upah di atas usaha saya itu.
“Saya sentiasa berdoa dan berharap agar ibu diberi kesihatan yang baik biar pun kehidupan kami dalam keadaan serba kekurangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wai Permai di sini semalam.
Sementara itu, Juraimie berkata, anak bongsunya itu terpaksa membesar dalam keadaan yang memerlukan untuk berdikari lebih awal.
“Tangan kiri saya kurang bergerak, jadi kebanyakan bahagian kiri saya ini ‘ada’ pada dia. Rutin dia (anak) bila bangun, menyediakan sarapan untuk saya sebelum pergi ke sekolah dan membantu saya menguruskan kerja rumah seperti basuh baju dan sebagainya.
“Bagaimanapun, Muhammad Shameer tidak pernah mengabaikan pelajaran meskipun perlu membantu saya,” katanya.
Juraimie berkata, pergerakan yang terhad dan perlu bergantung kepada kerusi roda mendorong Muhammad Shameer lebih peka terhadap keperluannya termasuk melaksanakan rutin harian itu sebelum ke sekolah.
“Saya juga mengambil upah membungkus barangan kawan-kawan seperti minyak angin, minyak wangi untuk dijual. Meskipun tidak banyak, cukuplah pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 yang diterima setiap bulan. Selain itu, saya juga mengambil upah mengurut,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, kakak kepada Muhammad Shameer, Puteri Dalili Amir Nizam, 15, kini tinggal di asrama Maahad Tahfiz Nurus Saadah, Behor Mali dan berada bawah jagaan bekas suami.
Katanya, Muhammad Shameer merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab malah dia juga sering berkongsi cerita suka duka bersama dengan anaknya itu.-UTUSAN.











