KUALA LUMPUR: Satu kerangka strategi pengangkutan awam bakal dibentangkan untuk menambah baik kemudahan itu demi kebaikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pengangkutan sedang menyiapkan satu kerangka strategik pengangkutan awam yang menyeluruh yang akan dibentangkan Jemaah Menteri yang boleh dilaksanakan mengikut peringkat.
“Antara strategik kita adalah untuk meringankan beban rakyat secara umum supaya pengangkutan awam itu dapat ditangani dengan bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang dekat sini hari ini.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan akan memberikan tumpuan bidang lain pada tahun depan termasuk pengangkutan awam bagi menangani kesesakan jalan raya. – UTUSAN