MELAKA: Hasrat kerajaan untuk meneruskan pembinaan terminal pelayaran bagi projek Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan komuniti setempat, sama ada pemaju telah menghantar laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau tidak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Selamatkan Komuniti Portugis Melaka, Martin Theseira berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika Sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendedahkan bahawa, pemaju, KAJ Development Sdn. Bhd. masih belum menyerahkan laporan berkenaan.
Katanya, seluruh komuniti terlibat kecewa dengan pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memandangkan tiada sebarang dokumen EIA yang dikeluarkan termasuk status semasa projek tersebut.
“Adakah pemaju telah menghantar laporan EIA dan diluluskan pihak berwajib? Ini kerana tiada sebarang perbincangan dengan komuniti setempat berhubung hasrat untuk meneruskan projek berkenaan.
“Kira-kira 80 keluarga nelayan di Perkampungan Portugis akan terjejas sumber pendapatan sekiranya projek bernilai berbilion ringgit itu diteruskan. Kami tidak pernah dipanggil untuk memberikan pandangan sejak projek itu dimulakan pada 2014, sebaliknya keputusan hanya dibuat sebelah pihak.
“Masalah sedia ada akibat tambakan laut seperti banjir, pesisir pantai berlumpur, hasil laut berkurangan dan sisa buangan yang hanyut di laut masih belum selesai. Kami tidak menolak pembangunan tetapi biarlah dilakukan secara mapan dan mengambil kira kelangsungan hidup komuniti nelayan,” katanya ketika ditemui.

Ahad lalu, Anthony berkata, pembinaan terminal pelayaran berkemungkinan disambung semula selepas pemaju mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan semula projek tersebut yang telah dibatalkan sebelum ini.
Tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendesak kerajaan negeri menghentikan Melaka Gateway kerana pemaju tidak pernah mengemukakan laporan EIA kepada JAS.
Tambah Martin, walaupun tambakan laut di kawasan Pulau Melaka hampir siap, namun kemajuan pembinaan terminal pelayaran yang dicadangkan itu tidak sampai 30 peratus.
Menurutnya, hanya cerucuk besi yang kelihatan dan masih belum ada sebarang kerja membabitkan tambakan laut.
“Buat masa ini kami menunggu maklum balas dari Kementerian Pengangkutan kerana mungkin menteri tidak diberikan maklumat yang lengkap agar mempertimbangkan semula keputusan berkenaan dengan mengambil kira nasib nelayan.
“Saya berharap kami diberi peluang untuk bersuara selaras aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat disebalik kemajuan negara,” ujarnya. – UTUSAN










