SPRM, BNM jejak aset, wang haram babit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa - Utusan Malaysia

SPRM, BNM jejak aset, wang haram babit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menjejak aset dan wang hasil daripada kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang telah berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran, Op Tropicana, Februari lalu.

Usaha menjejak aset dan wang haram yang dipercayai berjumlah jutaan ringgit itu dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan-badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA – United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, usaha itu merupakan tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket yang terdiri daripada warga asing didakwa di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac lalu.

Selain itu, mereka juga didakwa di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 Mac iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

“Keempat-empat warga United Kingdom tersebut dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, berhubung dakwaan bahawa lima bank utama sedang dipantau oleh SPRM berkaitan penglibatan dalam sindiket penipuan tersebut lebih tertumpu kepada individu-individu terlibat dan bukan melibatkan institusi kewangan tersebut secara khusus.

Kata kenyataan itu, mereka ini merupakan segelintir golongan profesional (professional enabler) termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi.

“Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya