Serap 1,500 pegawai pemantau harga ke jawatan tetap

Serap 1,500 pegawai pemantau harga ke jawatan tetap

Kewujudan jawatan Pegawai Pemantau Harga di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membantu kementerian memantau harga barang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menggesa kerajaan menyerap 1,500 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke jawatan tetap.

Sehingga kini, pegawai terbabit masih bertaraf kontrak sejak jawatan itu diwujudkan pada 1 April 2008 yang antara lain berperanan memantau kenaikan dan penurunan harga barangan.

Pegawai pemantau harga di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) sejak itu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan terutama dalam mengkaji senario kenaikan harga serta bekalan sama ada di peringkat pengilang, pembekal, pemborong atau peruncit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ini masa yang sesuai untuk berbuat demikian ketika kerajaan sedang berdepan isu-isu ketirisan barangan bersubsidi negara yang jumlahnya berbilion ringgit seperti, diesel, petrol, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

Beliau berkata, walaupun KPDN mempunyai 2,100 anggota penguat kuasa yang bekerja keras memantau perkara itu, ketirisan tetap berlaku sehingga menjejaskan sosioekonomi pengguna dan ekonomi negara.

“Pegawai-pegawai terbabit sejak jawatan tersebut diwujudkan telah memberi khidmat yang terbaik mengkaji senario kenaikan harga bekalan di semua peringkat kilang, pemborong dan peruncit.

“Di atas sumbangan diberikan, sudah sampai masa pekerja terbabit diserap ke jawatan tetap seterusnya dapat terus memberikan khidmat menangani ketirisan dan salah guna barangan bersubsidi yang dianggarkan ketirisannya berbillion ringgit,” katanya di sini semalam.

Firdaus berkata, tidak ditolak kemungkinan berlaku peningkatan kos kerajaan untuk membiayai gaji dan elaun 1,500 pegawai pemantau harga terbabit apabila diserap sebagai penjawat awam berjawatan tetap.

Namun katanya, apa yang penting kerajaan menghargai sumbangan pegawai pemantau harga dan menjamin masa depan serta mengiktiraf peranan mereka.

“Pegawai pemantau harga adalah sumber utama kerajaan dalam mengenal pasti kedudukan harga serta bekalan barangan tertentu kerana keupayaan mereka mendapatkan data-data primer daripada pembekal mahupun peruncit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×