GUA MUSANG: Sambutan Ramadan tahun ini lebih ‘bercahaya’ buat tujuh beranak apabila menerima sumbangan generator dari Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menerangi rumah mereka selepas hidup tanpa bekalan elektrik di sebuah rumah setinggan di Kampung Baru, di sini sejak empat tahun lalu.
Rusmawaty Rusdy, 35, berkata, keluarganya bersyukur kerana kesusahan hidup mereka mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk wakil rakyat, agensi kerajaan dan orang ramai.
Katanya, ketibaan Ramadan tahun ini lebih baik daripada sebelumnya apabila turut menerima bantuan kewangan dan bakul makanan.
“Kami sekeluarga gembira dan hanya tuhan sahaja dapat membalas jasa semua pihak yang tampil membantu. Ini adalah rezeki bulan Ramadan yang disambut beberapa hari lagi. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan bantuan kepada kami,” katanya semalam.
Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, pihaknya akan mengajukan masalah keluarga berkenaan kepada agensi terlibat bagi membolehkan mereka mendapat bantuan rumah kekal dan selesa.
“Saya sudah bertemu keluarga ini dan melihat keperluan yang perlu dibantu. Kami akan cuba mendapatkan rumah yang lebih baik untuk mereka daripada mana-mana agensi berwajib,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kehidupan keluarga itu yang dihimpit kemiskinan menyebabkan mereka terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik.
Rusmawaty tinggal di rumah itu bersama suaminya, Mohd. Soffian Mohd. Rosni, 41, dan lima anaknya berusia antara dua tahun hingga 14 tahun tidak mampu melunaskan bil elektrik tertunggak yang mencecah ribuan ringgit sehingga bekalannya dipotong.
Memandangkan rumah mereka terletak di atas tanah rizab sungai, penyambungan semula elektrik tidak boleh dilakukan walaupun jumlah tunggakan itu dibayar. – UTUSAN











