Perkhidmatan air Malaysia ketinggalan 15 tahun

Perkhidmatan air Malaysia ketinggalan 15 tahun

Perkhidmatan air di negara ini masih tertinggal jauh ekoran pencemaran sungai dan gangguan bekalan air yang masih berlaku. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Infrastruktur bekalan air Malaysia ketinggalan antara 10 hingga 15 tahun meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan hampir 66 tahun.

Lebih menyedihkan terdapat negeri masih menerima air tidak bersih manakala gangguan bekalan masih berlaku di kawasan bandar walaupun dilengkapi infrastruktur serba lengkap dan bangunan pencakar langit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran berkata, hal ini berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa melaksanakan agenda penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air yang dirangka sejak 2004 sekali gus memberi pelbagai kesan kepada rakyat termasuk di kawasan bandar.

Katanya, paling mengejutkan sasaran Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) bawah 25 peratus menjelang 2025 belum menampakan hasil apabila pencapaian masih pada kadar 33 peratus sekali gus mengakibatkan pembaziran air terawat kira-kira 7.084 juta liter sehari dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2 bilion setahun.

“Kita tidak boleh mendabik dada bahawa kita berjaya dalam mengatasi masalah air, kerana isu gangguan masih tahap membimbangkan meskipun kita mempunyai dasar pengurusan air, ini termasuk bekalan simpanan air luar jangka.

“Jika kerajaan melaksanakan polisi ini, kita mampu setanding malah lebih maju berbanding negara lain, masalahnya kita ada rancangan tetapi tidak dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau mengulas peranan yang perlu dimainkan Malaysia sempena penganjuran Persidangan Air Sedunia 2023 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat yang bermula esok.

Ditanya punca kegagalan melaksanakan agenda penstrukturan perkhidmatan bekalan air, Piarapakaran menjelaskan, perkara itu berlaku akibat terlalu dolak-dalik dalam kalangan syarikat perkhidmatan untuk melaksanakan polisi termasuk soal kawal selia pengurusan air.

Kata beliau, sejak 2004 sehingga kini segala perancangan industri berkenaan seperti sasaran NRW, pelan risiko gangguan air dan simpanan bekalan air terawat masih belum tercapai sedangkan perkara itu telah dirangka lebih 19 tahun lalu.

“Kita tidak boleh sembang kosong lagi, tetapi harus mengotakan pelaksanaan dasar ini agar pengurusan air kita tidak ketinggalan 15 tahun,” katanya.

Justeru kata beliau, tiada apa yang boleh dibanggakan Malaysia dalam pengurusan air kerana gangguan masih berlaku di kawasan bandar manakala masih berlaku ketidakseimbangan kemudahan air antara bandar dan luar bandar.

“Jika boleh bangga sekali pun, capaian luar bandar telah mencapai 90 peratus untuk diceritakan kepada dunia. Selain daripadanya, masih belum capai tahap untuk dibanggakan,” katanya.

Katanya, gangguan bekalan air mentah tidak berjadual di Lembah Klang selama ini, bukanlah pertama kali berlaku dan pastinya mengundang amarah masyarakat yang amat memerlukannya untuk keperluan asas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×