Penoreh harap harga lantai getah dinaikkan lagi

Penoreh harap harga lantai getah dinaikkan lagi

AHMAD Husin mencurah air hujan yang bertakung dalam cawan getah akibat cuaca tidak menentu di kebunnya di Kampung Gunung, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan diharap dapat mengkaji semula harga lantai getah RM2.70 sekilogram menerusi Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Tinjauan mendapati, kebanyakan penoreh di daerah ini mengakui kenaikan harga lantai getah sebanyak 20 sen daripada RM2.50 sekilogram memberi kesan positif, namun belum membuatkan mereka bernafas lega apatah lagi bagi mendepani harga barangan keperluan yang semakin meningkat.

Seorang pekebun kecil getah dari Kampung Matang, Nurul Hidayu Abdullah, 48, berkata, dia tetap bersyukur dengan usaha kerajaan menaikkan paras harga lantai getah RM2.70 sekilogram, namun jumlah itu baginya belum memadai.

“Secara peribadinya berharap kerajaan kaji semula harga lantai getah, kalau dapat sekurang-kurangnya RM3 ke atas bagi sekilogram. Cuaca sekarang pula tidak menentu, hendak dapat sekilogram getah beku pun ambil masa.

“Kali terakhir saya jual hasil getah September tahun lalu, ketika itu harga RM3.20 sekilogram dan bolehlah pendapatan RM1,000. Sejak tempoh itu sehingga sekarang belum dapat berbuat demikian ekoran cuaca selain masalah kecurian getah.

“Kalau dapat keluar menoreh setiap hari kadar kenaikan RM0.20 sedikit sebanyak membantu namun kami berdepan kekangan cuaca. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bulan-bulan musim panas pun hujan selain musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi penoreh getah dari Kampung Gunung, Ahmad Husin, 68, sejak banjir besar melanda daerah Hulu Terengganu pada Februari tahun lepas keadaan cuaca tidak menentu sehingga membantutkan kerja-kerja menoreh.

“Faktor cuaca luar bidang kuasa kita. Cuma kita harap pihak-pihak berkenaan dapat lihat dengan lebih mendalam nasib dialami pekebun atau penoreh getah yang begitu terkesan apabila harga rendah terutamanya bagi mereka yang masih mempunyai tanggungan.

“Harga RM2.70 sekilogram kalau kebun sendiri dan boleh menoreh setiap hari, bagi saya sedikit sebanyak membantu. Hendak betul-betul tarik nafas lega belum dapat kerana kos sara hidup sekarang melonjak naik.

“Keluar menoreh hari ini, esoknya hujan. Kalau boleh kita minta kerajaan pertimbang harga lantai getah ini biar naik lagi atau panjangkan lagi tempoh bantuan musim tengkujuh kepada pekebun-pekebun getah,” jelasnya.

Tambah Ahmad, selain kebun seluas cuma kira-kira suku ekar dia turut mengambil upah menoreh namun kini hampir setahun tidak dapat berbuat demikian akibat faktor cuaca dan hanya harapkan upah perkhidmatan mengurut serta bantuan untuk belanja harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN