Pelajar Pulau Banggi terpaksa guna kereta sapu ke sekolah

Pelajar Pulau Banggi terpaksa guna kereta sapu ke sekolah

KERETA tambang yang digunakan di Pekan Karakit, Pulau Banggi di Kudat, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Walaupun tidak selesa dan tambangnya mahal, pelajar yang tinggal di kawasan Pulau Banggi, di sini terpaksa menelan hakikat mereka sangat bergantung kepada perkhidmatan kereta sapu atau trak pikap yang diubah suai untuk ke sekolah atau mahu ke kawasan lain.

Seorang ibu, Aspiana Madasin, 31, berkata, satu-satunya sekolah menengah di pulau itu terletak di Pekan Karakit yang memerlukan kira-kira dua jam perjalanan dari Kampung Dogoton.

Katanya, memandangkan jalan yang dilalui adalah kawasan ladang sawit maka penduduk di situ bergantung kepada trak pikap yang diubah suai menjadi sebagai kereta penambang.

“Nasib baik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karakit mempunyai asrama maka, tidak perlu anak kami berulang-alik ke sekolah setiap hari.

“Tambang untuk pelajar murah sikit iaitu RM10 sehala berbanding tambang orang dewasa RM20 dari Kampung Dogotan ke Pekan Karakit.

“Memandangkan pelajar dibenarkan keluar asrama dua minggu sekali maka, kos tambang seorang anak dalam tempoh sebulan RM40. Jadi, bayangkan kalau ramai anak yang bersekolah menengah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di samping itu, ibu bapa turut berhadapan dengan kos pengangkutan yang tinggi untuk keluar membeli kelengkapan sekolah anak-anak di Pekan Kudat. Bagi mereka sekeluarga kos pengangkutan sahaja mencecah RM300 setiap kali keluar.

Aspiana berkata, dia mempunyai enam anak yang bersekolah termasuk seorang sekolah menengah menjadikan kos perbelanjaan sekolah untuk semua anak memang besar.

“Perbelanjaan anak sekolah rendah sekitar RM100 seorang, itu pun hanya kelengkapan asas sahaja, tidak termasuk peralatan menulis. Dengan kos barangan sekolah yang semakin mahal memang agak terbeban,” katanya.

Sementara itu, Malisa Omar, 32, berkata, tambang kereta di sekitar Pekan Karakit adalah RM3 sehala, begitu juga tambang pelajar sekolah.

“Jadi, ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah perlu menyewa kereta RM80 sebulan untuk seorang anak. Bayar tambang bulanan lebih jimat berbanding menaiki kereta sapu setiap hari.

“Macam kami, suami saya ada motosikal jadi memang semua lima anak yang bersekolah kami hantar sendiri. Kalau hujan berpanjangan atau tidak cukup duit beli petrol, kadang-kadang anak-anak tidak bersekolah sehingga seminggu,” katanya.

Malisa berkata, kelengkapan sekolah anak perlu dibeli di Kudat kerana tiada kedai yang menjual barangan sekolah yang lengkap di Pekan Karakit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN