PETALING JAYA: Semua bank diminta menurunkan bayaran bulanan dan memanjangkan tempoh pinjaman jika Bank Negara memutuskan untuk menaikkan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada semua peminjam pada minggu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, hidup peminjam kini boleh diibaratkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Katanya, meskipun bank terpaksa mematuhi arahan kenaikan OPR tersebut, mereka boleh membantu rakyat menerusi dua mekanisme itu bagi mengurangkan beban peminjam.
“Bank-bank boleh menggunakan keuntungan berlipat kali ganda pada tahun lalu untuk menurunkan bayaran bulanan dan memanjangkan tempoh pinjaman demi tidak membebankan peminjam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi meramal Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bulan ini.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan itu mengambil kira kadar inflasi yang menurun daripada 3.8 peratus pada Disember kepada 3.7 peratus pada Januari lalu.
“Kadar OPR dinaikkan bertujuan menurunkan kadar inflasi. Memandangkan kadar inflasi sudah terkawal, jadi tiada keperluan untuk menaikkannya dan ini juga tidak membebankan peminjam lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Rosland berkata, banyak bank mengumumkan prestasi keuntungan luar biasa antara RM1.3 bilion hingga RM8 bilion di saat rakyat terhimpit kenaikan OPR pada tahun lalu.
Oleh itu, jelas beliau, tidak salah mereka untuk mematuhi arahan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan OPR, tetapi kena cari kaedah tidak membebankan rakyat.
“Jika OPR dinaikkan dalam minggu ini, tidak kisah jumlah mata naik sekali pun, tetapi semua bank mampu menurunkan bayaran bulanan dan memanjangkan tempoh pinjaman supaya peminjam tidak terbeban untuk membayar pinjaman pada setiap bulan,” katanya ketika dihubungi semalam.
BNM dijangka mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada pertengahan minggu ini untuk melihat semula OPR.
Pada 19 Januari lalu, bank pusat itu mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus setelah pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
OPR kali terakhir dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada November tahun lalu.
Rosland menegaskan, sebarang kenaikan OPR akan menyebabkan lebih ramai rakyat muflis kerana peningkatan pinjaman menyebabkan mereka dibelenggu kadar bayaran pinjaman yang terlalu tinggi.
Beliau menambah, pihaknya setiap hari menerima 20 hingga 30 panggilan telefon sepanjang tahun ini yang mengadu keluhan berhubung kesengsaraan mereka untuk membayar pinjaman termasuk tidak mampu untuk melunaskan baki hutang tertunggak.
“Misalnya pada tahun lepas, beberapa kali OPR dinaikkan tetapi bank tetap untung berbilion ringgit. Namun yang sengsara adalah rakyat yang akhirnya terpaksa menjadi muflis kerana tidak mampu bayar hutang.
“Malah ada bank mengambil kesempatan menjual aset peminjam dimuflis pada kadar lebih rendah daripada nilai pasaran sekali gus tidak memberi peluang sama adil kepada mereka. Akhirnya hasil jualan itu, masih tidak mampu membayar baki hutang tertunggak,” katanya.
Justeru Rosland menjelaskan, semua bank wajar membantu pelanggan yang selama ini menjana keuntungan berbilion-bilion ringgit di saat terbeban dengan bayaran pinjaman.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, penurunan OPR perlu kerana dengan cara tersebut ekonomi negara akan rancak semula.
Menurut beliau, tindakan itu juga dapat membantu mewujudkan suatu keadaan yang mana tunai boleh diperoleh tanpa rasa bimbang dengan kadar faedah tinggi seterusnya menggerakkan ekonomi negara.
Saranan itu selepas BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut sebelumnya.
Kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya. – UTUSAN










