PETALING JAYA: Kekurangan pada diri bukanlah penghalang untuk mengejar cita-cita dan impian.
Sebaliknya, ia mampu menjadi pencetus semangat kepada golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk penghidap Sindrom Down untuk hidup seperti insan biasa.
Malah bagi Siti Nur Aisyah Shahimee, 24, dia yang sememangnya meminati bidang peragaan sejak kecil berjaya membuktikan sesiapa sahaja mampu berjaya seandainya terus diberi peluang.
Apa yang penting katanya, sokongan ibu bapa tanpa mengenal erti penat atau berputus asa di samping membuang perasaan malu amat diperlukan bagi mereka yang menghidap Sindrom Down.
“Saya sendiri mempunyai video dan akan merekod setiap aktiviti berkaitan peragaan di saluran YouTube sendiri. Biar kawan saya lihat. Saya tidak malu dan ibu bapa saya juga begitu. Beri banyak pendedahan.
“Saya berharap ia menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja terutama kepada golongan Sindrom Down untuk berjaya dan tidak diketepikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Nur Aisyah antara 10 wakil model Persatuan Sindrom Down yang terlibat dalam program amal seni budaya sempena World Saree Day Malaysia (WSDM) baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengarah World Saree Day, Bk. Nair berkata, beliau mahu memberi fokus kepada kerja amal dalam penganjuran majlis bersempena hari sari sedunia.
“Biasanya sebelum ini apabila diperkatakan majlis seumpama ini, ia dikaitkan dengan ratu cantik yang memperagakan pakaian cantik.
“Tapi kali ini kita mahu cari kelainan dengan memupuk kesedaran dan mencari sumbangan untuk golongan Sindrom Down. Mereka sebenarnya ada kelebihan tersendiri yang perlu ditonjolkan,” katanya. – UTUSAN










