La Nina: Air terawat susut 50 peratus di Kedah

La Nina: Air terawat susut 50 peratus di Kedah

CUACA kering dan taburan hujan berkurangan sejak sebulan lalu menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi dari Gunung Jerai turut berkurang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Fenomena La Nina lemah yang melanda utara tanah air ketika ini turut memberi kesan terhadap masalah bekalan air yang sememangnya berada dalam keadaan kritikal di Kedah.

Syarikat Air Darul Aman (SA­DA) menerusi satu kenya­taan memaklumkan, cuaca kering dan taburan hujan berkurangan sejak sebulan lalu menyebabkan sumber air mentah yang diperolehi dari Gunung Jerai turut berkurang.

Kata kenyataan itu, berlaku penurunan mendadak sehingga 50 peratus pengeluaran air te­rawat di loji ‘Headworks’ iaitu di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok, Gurun dan Pulau Tuba di Langkawi.

“Keadaan ini menyebabkan sumber air mentah dari Sungai Muda yang membekal air mentah ke LRA Sungai Petani dan LRA Pinang Tunggal telah me­ngalami paras penyusutan.

“Buat masa ini SADA telah memasang empat pam angkat rendah bagi membantu menge­pam air mentah yang sedia ada untuk membolehkan loji terus beroperasi,” katanya di sini semalam.

Tambah kenyataan itu, situa­si itu sekali gus menyebabkan kolam imbangan dan kolam sim­panan berada pada paras mi­nimum.

“Rentetan daripada itu, bebe­rapa kawasan di daerah Kuala Muda telah mengalami gangguan bekalan air antaranya di Semeling, Merbok, Tanjung Dawai dan Singkir. Begitu juga di Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Bukit Bayu, Taman Semarak Fasa 2, Harvard dan Toh Pawang.

“Pelbagai kaedah telah dica­dangkan untuk mengatasi ma­salah ini. Bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, tindakan segera melalui penghantaran lori tangki air secara berjadual telah dilaksanakan,” katanya.

Justeru katanya, pengguna di negeri ini dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah dalam melakukan aktiviti harian khususnya sepanjang mu­sim kemarau yang dijangka berlarutan bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan.

“Sebagai syarikat operator air negeri, SADA memahami kesulitan dihadapi oleh pengguna dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan isu gangguan bekalan air dapat diselesaikan dan tidak berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN