PETALING JAYA: Persatuan Drama Vertikal Malaysia (VERTIMA) bakal menganjurkan program santai dan komuniti, ‘VERTIMA Social Pickleball’ yang akan berlangsung pada 18 Oktober.
Acara yang dijadualkan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang itu akan bertempat di Connect22, Setapak dan dijangka dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti serta pelakon drama vertikal tanah air.
Membawa tema ‘Play. Connect. Collaborate.’ perjumpaan tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran positif bagi membolehkan penggiat industri kreatif, pengamal media serta masyarakat awam saling berinteraksi dan mengukuhkan jaringan kerjasama.
Exco Media dan Hubungan Antarabangsa VERTIMA, Puan Pasha Rahim berkata, program di bawah inisiatif ‘Grow with VERTIMA’ ini merupakan komitmen berterusan persatuan dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakan industri.
“Sukan pickleball dipilih kerana sifatnya yang inklusif untuk semua peringkat umur serta sangat mudah untuk dipelajari.
“Selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, acara ini menjadi ruang terbaik bagi rakan media serta warga industri hiburan untuk bertukar pandangan serta membina kolaborasi secara santai di luar set penggambaran,” katanya.
Menurutnya lagi, acara tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira tahap kemahiran sukan masing-masing.
Malah, bagi memudahkan penglibatan peserta, pihak penganjur turut menyediakan peralatan permainan di lokasi acara.
Sehubungan itu, seluruh pengamal media, warga industri kreatif dan orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama menjayakan program riadah berkenaan. – UTUSAN











