PETALING JAYA: Dana penyelenggaran digunakan untuk tujuan lain menjadi antara punca kemudahan awam termasuk pengangkutan gagal berjalan dengan sempurna.
Kesilapan itu menyebabkan pihak pengendali berdepan kekangan belanjawan pada setiap kali mahu menyelenggara sehingga terpaksa menagih simpati kerajaan.
Hal ini memandangkan jumlah baik pulih pengangkutan awam melibatkan kos yang besar misalnya apabila tahun lalu, Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) membelanjakan RM2.8 bilion bagi projek menaik taraf perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang kerap mengalami gangguan disebabkan sistem pengangkutan awam sudah ‘tua’ iaitu 24 tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kejuruteraan awam, Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, kos kewangan menjadi elemen penting aspek penyelenggaraan, namun peruntukan sedia ada telah digunakan tujuan lain sekali gus menyebabkan pihak pengendali kekurangan dana melakukan kerja naik taraf sekali gus memberi kesan pada masa akan datang.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu kemudian memberi contoh kutipan tambang perkhidmatan rel yang sepatutnya digunakan untuk aspek penyelenggaraan, tetapi hasilnya disalurkan untuk tujuan lain termasuk projek pengembangan laluan rangkaian.
“Kita terlalu sibuk bina dan kembangkan laluan, tetapi apabila tiba masa untuk selenggara, tiada bajet. Akhirnya kita tiada peruntukan dana penyelenggaraan dan menyebabkan sering berlaku gangguan kerana kerosakan sistem atau sebaliknya.
“Jadi adalah lebih baik kita tumpu kepada elemen penyelenggaraan berbanding membina projek baharu. Bukan tidak bermaksud tidak boleh pembangunan baharu, tetapi kena ambil kira aspek selenggara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pernah menyebut Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur kelas pertama, namun sistem penyelenggaraan sektor pengangkutan berada dalam kelas ketiga.
Malah sebelum itu, Anthony memaklumkan semua lif di 16 stesen monorel sekitar Lembah Klang masih tidak berfungsi berdasarkan laporan audit diterima daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Selain itu menurutnya, sebanyak 46 daripada 706 eskalator juga didapati tidak berfungsi sementara dari aspek pencahayaan pula, laporan audit itu memaklumkan sebanyak 664 lampu masih tidak berfungsi.
Dalam pada itu, Choy Peng menjelaskan, Malaysia ketinggalan jauh dalam aspek penyelenggaraan kerana asyik memfokuskan reka bentuk agar dilihat terlalu hebat seperti negara lain tanpa menitikberatkan aspek baik pulih untuk 10 tahun akan datang.
Beliau menambah, negara turut berdepan masalah kekurangan pakar penyelenggaraan sehingga perlu mengharapkan tenaga asing jika berlaku kerosakan sehingga mengimport mereka dari luar dan menyebabkan proses membaik pulih mengambil masa.
Jelasnya, situasi seperti mana pada tahun lalu apabila tempoh baik pulih kerosakan perkhidmatan rel di Lembah Klang terpaksa mengambil tempoh hampir seminggu disebabkan kerana pihak pengendali terpaksa menunggu kehadiran pakar dari luar negara.
“Malah kita turut kekurangan pekerja selenggara yang kini banyak dalam kalangan pekerja asing dan mereka ini akan pulang ke negara asal selepas kontrak tamat. Akhirnya kita berdepan bermasalah jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Choy Peng menambah, subjek institusi pengajian tinggi juga dilihat banyak memfokuskan pembelajaran reka bentuk tetapi kurang menitikberatkan penyelenggara kepada para pelajar, akhirnya graduan tidak dapat menguasai aspek menyelenggara dengan baik di lapangan.
Justeru beliau menjelaskan semua pihak termasuk kerajaan perlu melihat semula untuk melahirkan lebih banyak pakar penyelenggaraan dan teknologi bagi memastikan kita tidak ketinggalan dan akhirnya memberi impak negatif untuk pengguna pada masa depan. – UTUSAN










