Johari Baharom sedia pikul tanggungjawab sebagai calon PRN

Johari Baharom sedia pikul tanggungjawab sebagai calon PRN

Johari Baharom
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

5 Soalan

MUKADIMAH

PENAMPILAN semula sebagai calon Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) menjadikan DATUK SERI MOHD. JOHARI BAHARUM antara ‘muka lama’ yang mahu mewarnai semula dunia politik setelah tiga penggal bergelar Ahli Parlimen Kubang Pasu termasuk kali terakhir dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

Bekas Setiausaha Politik kepada dua Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi itu percaya pengalaman luasnya bukan sahaja mampu menyumbang kepada Kubang Pasu, bahkan sehingga ke peringkat nasional melalui wadah perjuangan UMNO.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia MUHAMAD AIMY AHMAD bersama Mohd. Johari yang tanpa berselindung juga menyatakan beliau tiada masalah sekiranya dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

UTUSAN: Selepas 2018, apa perkembangan dalam arena politik?

MOHD. JOHARI: Selaku bekas wakil rakyat, memberi perkhidmatan kepada rakyat tidak semestinya perlu bergelar wakil rakyat sahaja. Saya sentiasa balik ke kawasan untuk berjumpa, bermesra dan membantu rakyat mengikut kemampuan saya.

Jika ada yang sakit, saya bantu membawa mereka ke hospital dan jika ada yang memerlukan pertolongan saya akan bantu mereka sama ada melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat atau kawan-kawan korporat yang sentiasa sedia mahu menghulurkan tangan.

Bagaimana terdetik untuk buat ‘comeback’ sebagai pimpinan dalam parti?

Sebenarnya dunia politik telah menjadi urat nadi saya. Dengan sokongan kawan-kawan saya sedia memberikan perkhidmatan kembali. Pertandingan adalah wacana parti UMNO yang demokratik.

Sesiapa sahaja boleh bertanding selagi dia setia menjadi ahli UMNO dan kekal bersama parti walaupun dalam apa keadaan sekali pun sama ada ketika kita kalah atau menang.

Apa yang akan ditawarkan jika menang ketua bahagian dan MT?

Saya ini bukan kejar jawatan sangat tetapi khidmat untuk rakyat sentiasa menjadi prinsip saya untuk diutamakan. Buat apa ada kedudukan, memiliki jawatan tetapi rakyat Kubang Pasu khususnya sedang merana dan susah untuk mencari makan.

BN Kedah langsung tiada kerusi selepas PRU15, bagaimana mahu bawa parti ke landasan pilihan rakyat semula?

Saya yakin bahawa UMNO akan bangkit kembali sebagai wadah perjuangan orang Melayu. Saya bersama rakan-rakan yang lain akan memperkasakan semula UMNO.

Rekod kita selama ini cukup cemerlang. Tak mustahil kalau UMNO akan dinobat kembali sebagai peneraju kerajaan Kedah dalam PRN nanti.

Adakah Datuk Seri bercadang untuk terlibat dalam PRN akan datang sebagai calon?

Ya…Jika pucuk pimpinan merasakan saya mampu untuk memberi perkhidmatan saya akan terima. Insya-Allah kita akan berjaya kerana bagi saya kita perlu mengubah senario Kubang Pasu seiring moto saya iaitu ‘Kubang Pasu Baharu, Kubang Pasu Maju! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN