Jalan rosak teruk, setiap bulan saya tukar tayar

Jalan rosak teruk, setiap bulan saya tukar tayar – Madius Tangau

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah jalan ‘berkawah’ di Sabah sudah lama disuarakan, namun sehingga ha­ri ini tiada tindakan diambil oleh pihak kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Ta­ngau berkata, perkara itu sering kali disuarakan di Dewan Rak­yat olehnya serta beberapa Ahli Parlimen Sabah.

Malah keluhan rakyat juga disampaikan kepada menteri supaya tindakan diambil dengan segera.

“Kelmarin saya kata siapa nak jadi angkasawan, boleh datang ke Sabah, pandu kereta sendiri dan rasai bagaimana seperti berjalan di permukaan bulan yang berkawah. Begitulah keadaannya di Sabah sekarang.

“Ini bukan isu baharu, tetapi isu lama. Saya sudah suarakan di Parlimen, jumpa menteri pun sudah. Beri surat secara rasmi kepada menteri pun sudah. Menteri hanya kata, kita akan lihat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kata Madius, faktor jalan raya rosak teruk adalah disebabkan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang kini dalam pembinaan, dijangka siap pada 2027.

Jelasnya, masalah yang dialami rakyat itu tidak akan selesai selagi lebuh raya berkenaan belum siap sepenuhnya.

“Sebab kenderaan lebih muatan melalui jalan yang sama, mereka tiada jalan lain untuk dilalui. Masalahnya, saya, rakyat yang terkesan apabila jalan berlubang dengan teruk, tayar pecah, rim bengkok.

“Jangan katakan orang lain, saya sendiri setiap bulan tukar tayar sebab tayar kereta pecah. Kalau begini keadaannya, buat apa bayar road tax (cukai jalan)? Saya sampai katakan sebegini kepada menteri sebab saya nak dia faham,” katanya.

Masalah di Parlimen Tua­ran itu dikatakan bukan sahaja membabitkan jalan raya, malah turut menjadi masalah utama, tiang elektrik yang juga tidak berfungsi.

“Jalan sudahlah berkawah, gelap pula tu. Tiang elektrik yang ada tidak berfungsi, kalau satu tiang elektrik tidak berfungsi, maka semua akan tidak berfungsi.

“Itu sistem yang diguna pakai, berkait antara satu tiang elektrik dengan tiang yang lain. Kita memerlukan RM500,000 untuk pengurusan lampu elektrik di jalan raya, tetapi sehingga hari ini mohon sahaja, tetapi tiada tindakan daripada kerajaan,” jelasnya.

Madius dalam masa yang sama turut meluahkan rasa kecewa apabila salah seorang menteri yang berkaitan memberi respons: “Yang Berhormat pun pernah jadi menteri, bia­salah, bukan semua yang diminta akan dapat”.

“Masalahnya sekarang saya tidak mahu mendengar alasan, saya hanya mahukan penyelesaian untuk diri saya dan juga rakyat di sana,” katanya.

Beliau pada kelmarin ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 pada peringkat jawatankuasa menya­makan jalan di negeri itu sama dengan permukaan bulan yang berkawah.

Malah, beliau secara berseloroh mana-mana rakyat Malaysia mahu merasai pengalaman seorang angkasawan berada di bulan boleh ke negeri itu dengan memandu sendiri kenderaan.

“Jalan raya itu juga banyak kerosakan, berlubang-lubang sehingga pada suatu ketika, di jalan Tuaran, lebih lima kereta tersadai di tepi jalan. Tayar pe­cah dan rim bengkok. Sekiranya ada yang nak jadi angkasawan hari ini, jangan risau. Semua­nya kini jadi lebih mudah. Anda hanya perlu datang pandu kereta di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN