KUALA TERENGGANU: Kebanyakan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) di Terengganu terpaksa membuat pelbagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan disebabkan elaun yang diterima setiap bulan sangat rendah.
Mereka bagaimanapun akur dengan jumlah elaun tersebut kerana menyifatkannya setimpal memandangkan hanya perlu mengajar sebanyak tiga kali seminggu.
Seorang guru KAFA yang hanya ingin dikenali sebagai Haziq berkata, dia mengadakan kelas tambahan mengajar al-Quran dan berniaga makanan ringan di media sosial sebagai sumber rezeki yang lain.
“Kalau guru lelaki, memang hampir semua yang saya kenal buat sekurang-kurangnya dua kerja seperti berniaga burger pada waktu malam atau bekerja sebagai penghantar makanan atau pemandu e-hailing (Grab dan Food Panda).
“Paling kasihan jika guru lelaki yang sudah berkeluarga dan ada anak dua atau tiga orang. Mereka agak struggle melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menyara kehidupan.
“Bagi yang bujang seperti saya pula, hidup tidaklah begitu melarat kerana hanya memikirkan wang makan minum, motosikal dan rumah sewa sahaja dan setakat ini, masih mencukupi dan terpaksa mengamalkan gaya hidup sederhana dengan banyak berjimat cermat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Ketika ini, terdapat seramai 3,276 orang guru KAFA di semua lapan daerah negeri itu yang diselia oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT).
Seorang lagi guru KAFA yang ingin dikenali sebagai Aisyah pula berharap kerajaan akan membuat penambahbaikan dengan menyerap guru KAFA sebagai kakitangan awam Gred 29 yang berpencen demi menjaga kebajikan mereka.
“Kami sedar tempoh perkhidmatan kami tidak sama seperti guru-guru sekolah kebangsaan lain yang perlu mengajar dari pukul 7.30 pagi hingga pukul 1.15 tengah hari.
“Sudah tentulah, kadar bayaran gajinya berbeza, namun jauh di sudut hati memang berharap kerajaan akan membuat lebih banyak penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya yang kini membantu keluarga di kedai makan pada sebelah pagi sebelum mengajar KAFA dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang setiap Ahad, Isnin dan Rabu.
Seorang lagi guru agama yang hanya mahu dikenali Abd. Rahman pula berkata, walaupun gaji sebagai guru agama di SRA agak rendah, dia gembira dapat memberi pendidikan agama kepada murid-murid di sekolahnya.
Bagaimanapun, katanya, dia mencari pendapatan tambahan mengajar Al-Quran kepada golongan kanak-kanak dan dewasa.
“Alhamdulillah pendapatan sampingan itu dapat menampung perbelanjaan untuk isteri dan seorang anak lelaki yang berusia tiga tahun,” ujarnya.
Sementara itu, seorang guru SAR di Gemas, Tampin, yang hanya mahu dikenali sebagai Hazliana, 41, berkata, selepas ditolak dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pendapatan bersih yang diterima hanya sekitar RM940.
“Tidak hairanlah kami terpaksa melakukan dua kerja bagi membolehkan kami ‘bernafas’ sedikit. Seperti saya sendiri, pada sebelah pagi akan mengajar di sebuah tabika manakala di sebelah petang pula di SAR.
“Untuk membuat apa-apa pinjaman juga memang tidak layak jauh sekali untuk membuat pinjaman pembiayaan perumahan, sehingga ini saya tinggal bersama ibu,” katanya lagi. – UTUSAN










