Duit pencen RM3,000 untuk belanja Ramadan musnah terbakar

Duit pencen RM3,000 untuk belanja Ramadan musnah terbakar

HARIS SALLEH Hamzah menyampaikan sumbangan kepada Kamariah Abd. Samad di Taman Rumah Kos Rendah peringkat 3 di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kegembiraan pasangan warga emas menyambut Ramadan bertukar hiba apabila rumah mereka musnah lebih 70 peratus dalam kebakaran di Taman Rumah Kos Rendah peringkat 3 di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu menyebabkan Wan Alias Wan Mamat, 71, yang seorang diri di rumah cedera dihempap palang kayu ketika berusaha memadam api yang marak membakar rumahnya.

Turut musnah terbakar, duit pencen RM3,000 untuk perbelanjaan Ramadan yang baharu dikeluarkan dari bank oleh Wan Alias.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, isteri mangsa, Kamariah Abd. Samad, 73, berkata, ketika kejadian, dia berada di surau sejak solat Maghrib dan menunggu waktu Isyak.

“Setelah dimaklumkan oleh jemaah surau tentang kejadian, saya bergegas balik dan melihat suami sedang berusaha memadam kebakaran di bilik utama yang menyimpan dokumen penting termasuk barang kemas menyebabkan dia melecur tahap dua. 

“Kini suami sedang dirawat Hospital Jerantut dan dijangka dibenarkan keluar lima hari lagi kerana mengalami kesan terbakar yang agak teruk,” katanya di sini semalam. 

Kesedihan ibu kepada tiga anak itu sedikit terubat apabila pelbagai pihak tampil memberikan sumbangan wang tunai termasuk Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah dan Pengerusi Badan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud. 

Kamariah berkata, wang sumbangan itu akan digunakan untuk membeli pakaian baharu, perbelanjaan harian pada bulan Ramadan ini dan juga membaikpulih rumah. 

“Kini saya menumpang di rumah anak di Taman Embun, Jerantut,” katanya.

Sementara itu, Haris Salleh berkata, beliau bersama kepimpinan UMNO Bahagian hadir bagi melihat kesan kejadian malang itu dan memberikan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung oleh mangsa. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN