Demi dana, Ustaz Kazim berceramah walau tak sihat

Demi dana, Ustaz Kazim berceramah walau tak sihat

USTAZ KAZIM ELIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Demi mencari dana untuk Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi di sini, penceramah bebas terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mendedahkan pernah berceramah dalam keadaan tidak sihat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang lebih dikenali Ustaz Kazim berkata, malah untuk menambah sumber dana pusat pendidikan itu, beliau menghasilkan jualan pelbagai produk seperti kopi dan minuman lain.

Katanya, belanja pengurusan pusat pendidikannya sekitar RM150,000 sebulan bagi menampung kira-kira 300 orang termasuk mereka yang belajar agama, golongan miskin dan asnaf.

“Pada tahun 2018, saya pernah hampir hendak menjual bangunan sekolah kerana kekurangan dana. Masalah semakin meruncing semasa wabak Covid-19 apabila pada waktu itu kami tak dapat membiayai kos pengurusan pusat ini.

“Keperluan di sini ialah kos pengurusan, makan dan minum. Ada sekolah tahfiz yang tak kenakan bayaran makan minum kerana mereka di bawah yayasan, sedangkan kami di sini tidak mampu berbuat begitu.

“Kalau tanya saya bagaimana saya mendapat dana untuk pe­ngurusan pusat pendidikan ini, ia bergantung kepada ceramah jemputan ceramah kuliah.

“Untuk mendapat dana tambahan, saya mengeluarkan pro­duk minuman. Saya terus berusaha untuk menampung pengurusan pusat ini dan setakat ini masih boleh bertahan, walaupun saya pernah tidak sihat sebelum ini, saya tetap berceramah untuk dapat dana pusat pendidikan ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada tahun 2018, Mohd Kazim pernah berhasrat menjual sebahagian pusat itu membabitkan unit tahfiz yang menempatkan 100 pelajar di premis itu.

Ini berikutan beliau tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan selepas beliau tidak lagi mendapat panggilan kuliah serta ceramah dan bercadang untuk mengecilkan skala bagi menjimatkan kos.

Pada November lalu, Mohd. Kazim mendedahkan beliau telah sembuh daripada penyakit misteri yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Sementara itu, beliau me­ngakui terkesan apabila tidak mendapat undangan di beberapa negeri berikutan isu pentauliahan daripada pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, berikutan keadaan itu, tiada apa yang dapat dilakukan selain bersabar dan kreatif mencari dana untuk kos pengurusan pusat pendidikannya.

“Saya tak mahu minta derma, saya segan. Untuk itu, saya terpaksa buat kerja untuk tampung kos pengurusan pusat pendidikan ini,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Kazim yang mengulas isu tauliah kepada penceramah agama berkata, beliau hanya mendapat tauliah daripada tiga negeri iaitu Perak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Katanya, dia sudah tiga tahun tidak menerima jemputan berceramah di sebuah negeri kerana tiada tauliah di negeri tersebut dan berpegang pada prinsip tidak terima jemputan dari negeri yang beliau tak ada tauliah.

Isu tauliah kembali hangat selepas pembatalan kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Se­langor, Februari lalu kerana tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN