Dakwa ada fail salah guna kuasa, Hamzah perlu disiasat - Utusan Malaysia

Dakwa ada fail salah guna kuasa, Hamzah perlu disiasat

MOHD. YUSOFF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai fail-fail kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan pada masa ini.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yusoff Latiff berkata, kenyataan Hamzah itu perlu diambil perhatian memandangkan dakwaan tersebut adalah serius kerana membabitkan keselamatan negara.

“Hamzah dilaporkan mengeluarkan dakwaan bahawa beliau mempunyai fail kes-kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan sekarang.

“Beliau mendakwa telah meneliti fail pemimpin kerajaan sekarang dan boleh mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika mahu berbuat demikian.

“Bagi saya kenyataan Hamzah ini perlu diambil perhatian dan disiasat kerana membabitkan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan berkata, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.

Hamzah berkata, beliau juga mempunyai banyak fail pemimpin kerajaan, namun menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Menurut Mohd. Yusoff, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah tidak seharusnya melindungi penjenayah, malah semua fail berkenaan sepatutnya adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

”Hamzah nampaknya tidak melaksanakan amanah sebagai Menteri Kabinet seperti yang dilafazkan dalam sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan sama ada dakwaan Hamzah itu adalah benar atau palsu,” katanya.

Tambahnya, jika dakwaan itu benar mereka yang melakukan kesalahan terbabit tidak boleh dibiarkan bebas.

“Sebaliknya jika dakwaan ini palsu, Hamzah harus dikenakan tindakan memutar belit fail kerajaan dan didakwa dibawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.