Cubaan 'angkut' syabu RM17.9 juta guna van gagal

Cubaan ‘angkut’ syabu RM17.9 juta guna van gagal

AZMAN Ayob (dua dari kanan) bersama pegawai menunjukkan bungkusan syabu dalam sidang akhbar di IPD Tanah Merah, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Tindakan nekad seorang lelaki membawa syabu bernilai RM17.9 juta menggunakan van bernombor pendaftaran palsu digagalkan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Jalan Wan Ahmad di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, anggota batalion itu yang melakukan rondaan rutin mengesan sebuah van jenis Nissan Vanette berada dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob berkata, anggota bertugas kemudian melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki telah bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran lokasi.

Katanya, suspek bertindak meninggalkan van tersebut tanpa sempat mematikan enjin dipercayai terkejut dengan kehadiran anggota PGA.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas van berkenaan menemukan 13 guni putih yang mengandungi 499 peket plastik bertulis ‘Guan Yin Wang’ seberat 499 kilogram yang disyaki syabu di bahagian belakang.

“Suspek bertindak melarikan diri meninggalkan barangan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini, semalam.

Azman berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati van tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu serta terdapat gangguan terhadap nombor chasis dan enjin.

Katanya, kenderaan serta kesemua barangan dirampas dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Hasil rampasan dadah ini didapati boleh digunakan oleh seramai lebih 4.9 juta penagih dadah. Kami percaya bekalan dadah ini diperoleh dari negara jiran untuk pasaran ke Lembah Klang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Azman berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan telah berjaya menahan seramai 4,240 orang atas pelbagai kesalahan dan rampasan dadah yang bernilai anggaran lebih RM37 juta.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, pihaknya berjaya merampas empat senjata api di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×