Atlet pelapis Sukma lupakan hasrat ikuti latihan demi urus ibu bapa

Atlet pelapis Sukma lupakan hasrat ikuti latihan demi urus ibu bapa

NUR Sofea Izani Sofian (kanan) bersama ibu bapanya, Sofian Mohammad dan Zazani Mohd. Nordin di rumah mereka di Kampung Durian Kasim, Ajil, Hulu Terengganu. – FOTO/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang atlet pelapis silat olahraga Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu terpaksa melupakan se­ketika hasratnya mengikuti sesi latihan kerana ingin menguruskan keluarga dan menjaga kedua ibu bapanya di Kampung Durian Kasim, Ajil, di sini.

Nur Sofea Izani Sofian,18, berkata, dia memikul tanggungjawab sebagai anak sulung setelah ayahnya, Sofian Mohammad,47, cedera selepas terlibat kemalangan tiga bulan lalu manakala ibunya, Zazani Mohd. Nordin, 38, pula me­ngalami masalah kesihatan.

Menurutnya, walaupun ter­kilan kerana belum berpeluang jalani latihan silat yang bermula selepas selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, namun baginya keutamaan bu­at masa ini adalah keluarga.

“Sebelum ini saya telah sertai pelbagai kejohanan serta pertandingan silat. Bergelar atlet Sukma salah satu impian sejak sekian lama, namun saya perlu lupakan dahulu sementara waktu untuk sertai latihan di Kuala Nerus.

“Ayah masih tidak dapat bekerja sebagai tukang kebun selepas kemalangan. Emak pu­la kesihatan makin kerap ter­ganggu sejak Disember lalu sehinggakan sekarang ini sukar untuk mengangkat tangan kanannya.

“Selain uruskan hal-hal di rumah, saya perlu hantar dan ambil dua adik yang masing-masing berusia 6 dan 13 tahun. Cita-cita saya untuk jadi atlet silat bagi mewakili negeri Terengganu suatu hari nanti tidak pernah pudar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sementara itu, Zazani pula berkata, suaminya kini tidak dapat berjalan secara normal serta terpaksa bertongkat, selain masih perlu menjalani fisioterapi akibat kemalangan jalan raya hingga menerima sembilan jahitan di bahagian lutut kanan.

Tambahnya, kesihatannya pula sering terganggu sehingga berat badan turun mendadak daripada 68 kilogram ke 57 kilogram dan doktor mengesyaki dia menghidap kanser darah serta masalah buah pinggang namun masih dalam pemeriksaan.

“Selain kerap demam, tangan kanan sekarang sukar diangkat hingga bantutkan pergerakan dan hanya harapkan anak sulong lakukan kerja-kerja rumah.

“Sudahlah suami hilang pendapatan kira-kira RM800 sebulan kerana tidak dapat bekerja, kesihatan saya pula makin terganggu. Kami sekeluarga hanya berjimat cermat dengan wang simpanan untuk perbelanjaan harian,” ujarnya.

Orang ramai yang i­ngin menghulurkan bantu­an ke­pa­da keluarga tersebut bo­leh menghubungi Za­za­ni atau menerusi akaun Za­zani Mohd. Nordin, 11995-1240­087860100021 (Bank Simpa­nan Nasional). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN