Akta 672: Tiada lagi kemerosotan kualiti pembersihan awam di Selangor

Akta 672: Tiada lagi kemerosotan kualiti pembersihan awam di Selangor

Akta 672 Selangor
KUALITI perkhidmatan kutipan sisa dan pembersihan awam diharap ditingkatkan selepas pemeteraian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 di Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tiada sebarang kompromi terhadap kemerosotan prestasi dan kualiti pengurusan sisa serta pembersihatan awam selepas negeri ini meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, baginda bertitah, ia termasuk dari segi ketepatan masa serta frekuensi kutipan sisa apabila Selangor mempunyai kapasiti penduduk yang besar serta bergantung kepada perkhidmatan berkenaan di seluruh negeri.

“Baginda amat berharap perjanjian antara tiga pihak iaitu kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor dapat dicapai demi kepentingan semua pihak supaya rakyat dapat menikmati Selangor lebih bersih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Baginda turut menekankan kepentingan agar semua pihak bersama-sama memastikan tahap pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berada pada paras yang setara atau lebih baik daripada pelaksanaan sedia ada selepas pemakaian akta tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan agar perancangan sisa kepada tenaga (WTE) di Selangor dapat diteruskan dan disegerakan melalui pemudahcaraan bersesuaian oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

Menurut Istana Alam Shah, Sultan Selangor sebelum ini berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Khamis lalu dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, kelmarin.

Kedua-dua pertemuan itu bagi memaklumkan perkembangan pelaksanaan Akta 672 susulan lawatan baginda ke loji WTE Amager Bakke (CoppenHill) di Copenhagen, Denmark, baru-baru ini.

Susulan pertemuan tersebut, baginda sukacita negeri ini bersiap sedia untuk menjadi negeri kelapan yang menerima pakai Akta 672 dan disembah maklum oleh Kor Ming usaha menyeluruh di peringkat PBT selesai dan semua pihak berkepentingan komited menyempurnakan proses itu dengan tuntas.

“Menteri memaklumkan selepas perjanjian dimeterai, pelantikan pihak-pihak berkepentingan akan dilaksanakan. Itu bakal disokong dengan pembiayaan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan melalui kementerian.

“Pengaturan serupa dilaksanakan sejak 2011 di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Kedah serta Perlis,” ujarnya.

Disember tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri menjangkakan pemeteraian terhadap Akta 672 dilakukan suku terakhir tahun ini.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri sudah pun mengadakan libat urus penilaian dengan pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp.) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini