PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mewasalkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Raja Jordan, Raja Abdullah II dalam Sambutan Negara di Istana Negara hari ini.
Pengurniaan darjah kebesaran itu berlangsung dalam Istiadat Khas di Dewan Seri Maharaja selepas pertemuan empat mata sempena lawatan negara dua hari Raja Abdullah II ke Malaysia bermula semalam.
DMN yang diwartakan pada 21 Ogos 1958 merupakan antara darjah kebesaran Persekutuan yang boleh dikurniakan secara kehormat kepada raja, sultan, permaisuri, putera dan puteri diraja serta ketua negara asing.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyambut keberangkatan tiba Raja Abdullah II pada pukul 9.50 pagi bagi Istiadat Sambutan Negara di Dataran Kawad Istana Negara.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta tetamu kehormat.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi serta pegawai kanan Istana Diraja Hasyimiah dan kerajaan Jordan.
Istiadat sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd. Fahmy Harun, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Raja Abdullah II kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang diketuai Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin dan terdiri daripada lima pegawai serta 89 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kawalan kehormatan itu membabitkan tiga cabang perkhidmatan ATM, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan (TLDM) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi Majlis Jamuan Negara untuk meraikan keberangkatan Raja Jordan itu ke Malaysia.
Raja Abdullah II tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.13 malam semalam bagi lawatan negara atas undangan Sultan Ibrahim.
Baginda turut dijadualkan menerima menghadap Anwar di Kompleks Bunga Raya, KLIA sebelum mengakhiri lawatan negara ke Malaysia.
Ini merupakan lawatan negara kali kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008.
Lawatan berkenaan berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang dijalin pada 1965 terutama dalam bidang pendidikan.
Tahun ini, seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Selain hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen memelihara keamanan, keadilan dan kestabilan berkekalan di rantau Asia Barat khususnya dalam memperjuangkan hak sah rakyat Palestin.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, perdagangan kedua-dua negara terus berkembang lapan peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. – UTUSAN











