Air bersih jangan hanya modal kempen politik

Air bersih jangan hanya modal kempen politik

Penduduk Kampung Renok Baru, Gua Musang menunjukkan bil yang diterima setiap bulan dan perlu dijelaskan tetapi bekalan air sering terputus di kawasan itu. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Rakyat Kelantan mahu pemerintah tidak mengira parti manapun, perlu menyelesaikan isu bekalan air bersih dan bukan sekadar menjadi perkara itu sebagai `janji politik’ ketika berkempen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Ezlan Baharudin, 55, berkata, penduduk yang acap kali terjejas dengan masalah air pastinya gembira apabila ada pemimpin berjanji untuk menyelesaikan bekalan air yang mengganggu penduduk Kelantan.

Menurutnya, lebih 30 tahun rakyat Kelantan menderita akibat tiada bekalan air bersih sejak kepimpinan Kelantan bertukar daripada UMNO kepada Pas.

“Saya percaya rakyat Kelantan semakin bertambah setiap tahun serta pembangunan semakin banyak menyebabkan kita memerlukan bekalan air bersih.

“Kami berharap sesiapa sahaja yang memimpin Kelantan dapat menyelesaikan masalah sumber air yang dihadapi penduduk,” katanya ketika ditemui di sini semalam

Sementara itu, Mohd. Azlan Mamat, 44, berkata, isu melibatkan keperluan dan kebajikan rakyat sewajarnya diambil berat bersama, bukan dijadikan untuk janji pilihan raya sahaja.

Katanya, kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih drastik supaya penderitaan rakyat sejak berpuluh tahun lalu dapat dihentikan segera.

“Kami tidak kisah parti mana yang memerintah negeri ini tetapi kami berharap isu air dapat diselesaikan.

“Kami tidak mahu isu air dijadikan modal politik kerana kami yang menanggung masalah sehingga ada yang menggunakan air keruh dan bekalan air sentiasa terputus,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, BN tekad menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu rakyat negeri ini sejak sekian lama dalam tempoh lima tahun sekiranya diberi mandat untuk menjadi kerajaan selepas PRN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN