Unimap jalin kerjasama dengan CIDB Technologies, lahir lebih ramai tenaga mahir - Utusan Malaysia

Unimap jalin kerjasama dengan CIDB Technologies, lahir lebih ramai tenaga mahir

MOHD. Mustafa Al Bakri Abdullah dan penyelidik FKTK dalam pertemuan bersama Pengurus Cawangan CIDB Technologies Sdn. Bhd. Mohd Zulkhairi Mohd Daud di Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) terus mengorak langkah bekerjasama dengan CIDB Technologies Sdn. Bhd. bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir.

Majlis memeterai memorandum persefahaman tersebut diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies, Mohamad Darus Taib dan manakala Unimap diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Zaliman berkata, seramai enam tenaga pengajar dari FKTK telah mengikuti program Pembangunan Pengajar (ToT) dalam mendapatkan pensijilan profesional dalam bidang NDT yang dianjurkan oleh CIDB Technologies diketuai Pengerusi Rancangan Kejuruteraan Bahan FKTK, Dr. Juyana A Wahab.

“Terbentuknya kerjasama ini diharap membantu memberi lebih fokus dan penekanan kepada program upskiling dan reskiling kepada tenaga pengajar dan pelajar FKTK yang memfokuskan kepada bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT).

“Lebih 40 pelajar dan kakitangan Jabatan Bahan terlibat secara langsung dalam beberapa siri latihan bersama CIDB Technologies selain turut melibatkan aktiviti mengkhususkan kepada gerak kerja penyelidikan dan perkongsian idea serta kepakaran terutamanya dalam bidang Kejuruteraan Bahan dan Metalurgi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dekan FKTK, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses mengadakan Makmal NDT yang bakal dikendalikan tenaga pengajar Unimap yang telah menjalani latihan di CIDB Technologies.

“Kita sedang berusaha mendapatkan akreditasi makmal daripada pihak berwajib dalam melicinkan pengoperasian bagi tujuan proses pengajaran dan penyelidikan di Unimap dan diharapkan makmal tersebut mampu menawarkan perkhidmatan pengujian kepada orang luar.

“Kerjasama yang dimeterai ini mampu meningkatkan nilai tambah kepada pelajar dan memberi pendedahan awal alam pekerjaan industri yang sebenar dalam mensasarkan impak kebolehpasaran graduan yang selari dengan agenda utama yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi iaitu pemerkasaan mahasiswa,” katanya.

Dalam usaha memastikan program yang ditawarkan universiti berteraskan kejuruteraan itu relevan dengan pasaran kerja semasa, Unimap komited memperkasakan jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat dan industri.

Ia dilaksanakan secara berterusan oleh setiap fakulti dan jabatan di Unimap bagi membantu pelajar universiti itu mendapat tempat di sektor pekerjaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya