Tiga lagi hospital bakal dibina di Selangor - Utusan Malaysia

Tiga lagi hospital bakal dibina di Selangor

Hospital
AMIRUDIN Shari (tiga, kiri) bersama  Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (dua, kiri) menyaksikan model rekaan KSSA di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengambil inisiatif meningkatkan akses kepada kesihatan dengan cadangan membina tiga buah hospital awam bagi mengatasi masalah kesesakan pesakit di fasiliti awam itu, untuk jangka masa panjang.

Tiga lokasi dikenal pasti di Sepang dan Cyberjaya yang bakal menerima kemudahan tersebut termasuk di Klang bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan kesukaran untuk pergi ke sana khususnya bagi penduduk di Kapar, Meru dan Puncak Alam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mengambil maklum titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah lebih banyak fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, Hospital Cyberjaya akan siap sepenuhnya dan dalam masa sama (Kerajaan Persekutuan) akan membina sebuah lagi hospital di Kapar yang mempunyai 300 katil.

“(Kerajaan Persekutuan) juga sedang merancang untuk membina sebuah lagi hospital di Sepang dan tindakan ini dapat mengurangkan tekanan kepada hospital yang sedia ada di negeri ini,” katanya selepas melawat pameran pelan pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), hari ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah menegur KKM supaya melihat semula semua keperluan fasiliti kesihatan awam di Selangor secara menyeluruh untuk menyelesaikan isu tempoh menunggu lama pesakit bagi mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.

Baginda menjelaskan, lebih tujuh juta rakyat Selangor memerlukan fasiliti dan kemudahan peralatan kesihatan lebih baik serta canggih.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, SelCare ketika ini hanya mampu menyediakan fasiliti kesihatan kecil seperti klinik SelCare dan Farmasi SelCare.

“Ini kerana pembinaan hospital adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat. Justeru, kita (SelCare) hanya dapat membantu Kerajaan Persekutuan yang mana kita mampu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya