Projek monorel gagal, antara pembaziran RM812.91 juta pembangunan Putrajaya

Projek monorel gagal, antara pembaziran RM812.91 juta pembangunan Putrajaya

PENANGGUHAN projek monorel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM797.18 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semakan audit mendapati berlaku pembaziran bagi pengurusan pembangunan Putrajaya berjumlah RM812.91 juta sebagaimana didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang diterbitkan hari ini.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pembaziran itu melibatkan penangguhan projek monorel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini berjumlah RM797.18 juta termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.

Beliau berkata, tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah, manakala depoh bas di Presint 14 tidak digunakan berjumlah RM12.21 juta, selain penggunaan infrastruktur park & ride tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta.

Kata beliau, pihak yang bertangungjawab melaksanakan penilaian pencapaian keberhasilan pembangunan Putrajaya tidak ditetapkan dengan jelas oleh kerajaan.

“Infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.

“Pembangunan infrastruktur monorel belum siap sepenuhnya manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan trem belum dibangunkan.

“Penangguhan projek monorel menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai dan merupakan satu pembaziran sekiranya infrastruktur telah dibangunkan tidak dimanfaatkan,” katanya dalam sidang akhbar berhubung LKAN itu di sini hari ini.

Menurut Nik Azman, sasaran penduduk di Putrajaya pada tahun 2020 iaitu seramai 281,500 orang tidak dicapai sedangkan jumlah penduduk mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan seramai 109,202 orang.

Selain itu, katanya, sebanyak 22,452 daripada 35,000 unit kuarters yang disasarkan telah dibina oleh Putrajaya Holdings (PjH) bagi kemudahan penjawat awam di sini sekali gus status pembinaan baki 12,548 unit kuarters belum ditetapkan pihak kerajaan.

Jelas beliau, sehingga 31 Disember 2021, seramai 17,847 penjawat awam masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters.

“Penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan tidak selaras dengan pembangunan perumahan penjawat awam Malaysia berdensiti tinggi. Gross floor area bagi ruang komersial sedia ada masih belum digunakan sepenuhnya dengan aktiviti perdagangan.

“50 peratus daripada 0.13 juta meter persegi ruang komersial yang dimiliki PjH di Nusa Perdana belum terjual atau disewa,” katanya.

Bagi mengatasi kelemahan dibangkitkan dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan, pihak audit mengesyorkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengkaji semula pelan pembangunan agar dapat diselaraskan dengan perubahan konsep pembangunan Putrajaya.

Ia supaya kemudahan infrastruktur bersesuaian dapat disediakan dan berfungsi mengikut perancangan, selain mewujudkan mekanisme pemantauan melalui jawatankuasa berpusat bagi memastikan penyelarasan perancangan pembangunan di Putrajaya lebih cekap sekitanya berlaku perubahan dasar kerajaan.

Pada masa sama, KWP, Kementerian Pengangkutan dan PPj perlu menetapkan hala tuju penggunaan infrastruktur yang dibangunkan bagi memberi manfaat kepada rakyat dan mengelakkan pembaziran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya