KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mendapatkan semula hasil dan bayaran balik berjumlah RMM316.68 juta menerusi tindakan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) setakat 31 Disember lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu melibatkan kutipan penalti, sewa tertunggak, duti, cukai serta tuntutan ganti rugi yang dikenal pasti melalui proses pengauditan.
Katanya, kejayaan tersebut membuktikan peranan audit sebagai mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam memastikan wang awam diurus secara berintegriti dan telus.
“Tindakan susulan audit yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara telah meninggalkan impak kewangan yang sangat signifikan.
“Tindakan susulan dan reformasi terhadap isu yang dilaporkan dalam LKAN ini juga selaras dengan arahan Perdana Menteri kepada semua menteri untuk meneliti dan mengambil tindakan terhadap teguran yang dibangkitkan dalam LKAN,” katanya ketika membentangkan usul berhubung LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, laporan audit negara juga bukan sekadar dokumen semakan kewangan, sebaliknya menjadi asas penting dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti serta penambahbaikan pentadbiran kerajaan.
Katanya, segala teguran termasuk berkaitan ketirisan, ketidakpatuhan peraturan dan kelemahan pengurusan perlu diberi perhatian sewajarnya supaya tindakan pembetulan dapat dilaksanakan serta tidak berulang pada masa hadapan.
“Kerajaan yakin bahawa pembentangan LKAN tanpa perbahasan yang telus dan terbuka adalah tidak mencukupi, kerana tadbir urus yang baik hanya akan terhasil apabila semua pihak dapat berbahas, memberi pandangan, dan melakukan pengawasan secara kolektif.
“Perbahasan ini bukan tanda kelemahan, tetapi bukti bahawa kerajaan kita tidak mempunyai apa-apa yang disorokkan kerana kita percaya bahawa ketelusan memperkukuh keyakinan awam, bukan sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










