LKAN: 55 tan minyak masak subsidi dijual kepada pihak tidak layak

LKAN: 55 tan minyak masak subsidi dijual kepada pihak tidak layak

Skim tanaman semula sawit diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku pengeluar sawit kedua dunia.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan sebanyak 55,167 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dijual kepada pihak yang tidak layak termasuk kedai makan, penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut laporan berkenaan, perkara tersebut sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Selain itu, laporan juga berkata, penjualan melibatkan 713,442kg minyak masak didapati melebihi had pembelian, iaitu tiga peket bagi setiap transaksi untuk seorang pelanggan.

“Tiada tatacara yang jelas berkenaan pengurusan minyak masak rosak serta kawalan terhadap penjualan minyak masak yang rosak mengakibatkan dua syarikat telah menyimpan 942 kg minyak masak rosak untuk dijual kepada peraih minyak masak terpakai dan 16 syarikat terlibat dalam pembungkusan semula minyak masak rosak,” katanya.

Laporan itu juga mendedahkan, sembilan daripada 72 sampel syarikat pembungkus tidak memiliki pensijilan halal dan enam daripadanya telah mencetak penandaan halal pada plastik pembungkusan minyak masak walaupun tidak mempunyai pensijilan halal.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disyorkan menyemak dan menambah baik SOP Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak secara berkala untuk menangani jurang pelaksanaan program sedia ada.

“Ini termasuk pengurusan minyak masak rosak dan pemantauan pensijilan halal. KPDN juga perlu menetapkan dasar penyaluran bersasar agar subsidi hanya diperoleh oleh golongan isi rumah yang layak mengikut kriteria dan syarat yang ditetapkan.

“Had pembelian minyak masak bersubsidi juga perlu disemak semula supaya selaras dengan keperluan sebenar rakyat dan mengelakkan pembelian berskala besar untuk tujuan komersial yang tidak termasuk dalam dasar yang ditetapkan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN