KUALA LUMPUR: Rekod perakaunan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 diselenggarakan dengan teratur, kukuh dan kemas kini.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dengan pengurangan defisit dan penurunan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 2023.
Beliau berkata, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan itu memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan kerajaan bagi tahun berkenaan.
Katanya, Ketua Audit Negara telah mengeluarkan Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain terhadap penyata tersebut.
“Defisit bagi 2024 menurun sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya.
“Nisbah defisit kepada KDNK juga berkurang kepada 4.1 peratus berbanding lima peratus pada 2023 sekali gus lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
“Pencapaian ini meletakkan asas kukuh bagi mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah tiga peratus,” katanya ketika pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Suraya berkata, antara isu dibangkitkan dalam laporan tersebut adalah Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) masih belum disiapkan sehingga Julai lalu walaupun tarikh siap asal ditetapkan pada 16 November 2024.
Katanya, antara kelewatan dikenal pasti termasuk pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS) yang belum siap sepenuhnya, beberapa bangunan utama lain yang masih dalam pembinaan serta pembinaan jeti yang belum dimulakan.
“Jabatan Audit Negara (JAN) turut memperluas pengauditan terhadap 1,856 badan lain termasuk syarikat kerajaan melalui Sistem e-SelfAudit yang menggunakan teknologi pendigitalan bagi membolehkan semua entiti berkenaan diaudit setiap tahun bermula 2025.
“Tiga elemen utama yang diaudit ialah pencapaian mandat dan objektif penubuhan, pematuhan terhadap aspek tadbir urus serta prestasi kewangan,” ujarnya.
Setakat 31 Disember 2024, sebanyak 13 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri telah siap diaudit dan dikeluarkan Sijil Ketua Audit Negara dengan empat negeri iaitu Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu menerima Pendapat Tanpa Teguran.
Sembilan negeri lain termasuk Johor, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor menerima Pendapat Tanpa Teguran dengan Perenggan Hal-hal Lain.
LKAN 3/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan mengandungi 14 naskhah laporan termasuk satu di peringkat Persekutuan iaitu Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2024 serta laporan aktiviti kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan Persekutuan.
Sebanyak 13 naskhah lagi melibatkan laporan peringkat negeri mengenai Penyata Kewangan Kerajaan dan Agensi Negeri.
Laporan penuh LKAN 3/2025 peringkat Persekutuan boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang Jabatan Audit Negara mulai jam 10 pagi ini di pautan http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my. –UTUSAN










